Air Asia & Central Coast Mariners Meterai Kerjasama
MakanBola
Central Coast Mariners

Central Coast Mariners mendapat suntikan moral menjelang aksi Piala AFC malam ini apabila memeterai kerjasama penajaan dengan syarikat penerbangan tambang murah negara, Air Asia.

Kerjasama ini diumumkan kedua-dua pihak di laman sesawang rasmi mereka hari ini. Menerusi kerjasama ini, Air Asia akan menjadi penaja The Mariners sepanjang Piala AFC musim 2023.

Air Asia menjadi pilihan kelab A-League itu kerana banyak menaja pelbagai program dan kejohanan sukan di Australia dan New Zealand. Ini termasuk kejohanan Gold Coast Marathon dan Auckland Marathon.

CEO Central Coast Mariners, Shaun Mielekamp melihat kerjasama ini mampu membantu mereka melakar kecemerlangan dalam saingan Piala AFC.

“Kami amat gembira untuk mengalu-alukan Air Asia sebagai penaja utama kami sepanjang kempen Piala AFC. Reputasi mereka sebagai sebuah syarikat yang dinamik dan berpandangan jauh yang dilihat selari dengan visi kejayaan kami di pentas antarabangsa.

“Dengan sokongan mereka, kami yakin kami boleh memberi impak besar dalam Piala AFC. Selepas kejayaan memenangi kejuaraan A-League pada 2023, sebahagian daripada strategi kami ialah menarik jenama-jenama global sambil mengekalkan hubungan dengan komuniti kami,” katanya hari ini.

Pandangan Mielekamp turut dipersetujui oleh CEO airasia brand co., Rudy Khaw. “Kami bangga mengadakan kerjasama dengan pendahulu A-League 2023 dalam pengembaraan mereka menghadapi Piala AFC.

“Bola sepak ada kuasa unik menyatukan manusia tanpa mengira perbezaan dan kami percaya kerjasama ini bukan saja menaikkan The Mariners tetapi juga memberi inspirasi kepada penyokong dan komuniti di rantau ini untuk menjadi sebahagian daripada tindakan, terima kasih kepada tambang kami pada kadar yang hebat yang membenarkan semua orang untuk mengembara.

“Kami tidak sabar untuk mengharungi kempen yang berjaya dan mengujakan bersama-sama dan membawa pasukan ke tahap lebih tinggi,” ujarnya.

Sepanjang kempen Piala AFC, logo Air Asia akan terpampang pada bahagian depan dan belakang jersi home dan away The Mariners.

Jersi ini bakal digunakan buat kali pertama dalam aksi pertama Kumpulan G menentang Terengganu FC malam ini.