Keputusan menarik diri oleh sesebuah kelab bukan sahaja mengakhiri aksi mereka di atas padang, tetapi turut memberi kesan besar kepada keseluruhan ekosistem bola sepak tanah air.
Penganalisis sukan, Prof Madya Zulakbal Abd Karim berkata, ramai yang hanya melihat kesan kepada pemain dan jurulatih, sedangkan gelombang impaknya jauh lebih luas daripada itu.
“Kesan sebenar bukan terhenti di bilik persalinan atau pejabat pengurusan, malah ia turut melibatkan ramai pihak lain yang cari makan melalui bola sepak,” katanya dalam satu kenyataan.
Antara golongan yang bakal terjejas termasuklah vendor yang mengurus tiket dan kawalan keselamatan, penyedia kemudahan stadium, sukarelawan perlawanan, peniaga kecil serta syarikat barangan rasmi kelab.
Lebih parah, apabila sebuah kelab ditutup, struktur akar umbi yang menampung pembangunan bakat seperti skuad belia dan remaja juga akan turut lenyap bersama-sama nama pasukan.
“Bila bahagian akar umbi dibubarkan, bakat muda tak ada tempat untuk digilap dan akhirnya kita kehilangan generasi pelapis yang sepatutnya menjadi masa depan negara,” jelasnya.
Beliau turut memberi amaran bahawa kesannya akan sampai ke peringkat pembangunan pusat seperti Akademi Mokhtar Dahari (AMD) yang selama ini berharap kepada kesinambungan laluan pembangunan.
“Kalau tak jaga asas sendiri, kita terpaksa terus bergantung kepada pemain naturalisasi ibarat kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan,” tambahnya.
Beliau berpandangan sudah tiba masa untuk kelab yang bergelut memikirkan strategi kebangkitan, termasuk menstruktur semula pentadbiran, menyelesaikan isu hutang dan kembali dengan wajah yang lebih profesional.
“Kita ada bakat, kita ada peminat, cuma perlu ada keberanian untuk berubah dan bergerak ke depan secara lebih mapan,” katanya.