Penolong jurulatih Kelantan The Real Warriors FC (KTRW FC), Akmal Rizal Ahmad Rakhli berharap dapat melihat seorang lagi penyerang menyertai pasukan itu.
Hal ini dinyatakan beliau selepas melihat pasukan Pantai Timur itu menewaskan Imigresen FC 2-1 dalam aksi suku akhir pertama MFL Challenge Cup.
Akmal Rizal memuji impak yang dibawa penyerang baharu pasukan itu, Enzo Celestine. Meskipun terlepas penalti dalam aksi berkenaan, penyerang Perancis itu meletakkan Kelantan TRW di hadapan pada babak pertama.
“”Saya berpuas hati. Dia (Celestine) baru tiga hari menjalani latihan (bersama kami) dan sesiapa pun boleh melakukan kesilapan dalam sepakan penalti,” katanya seperti dilaporkan Stadium Astro.
Meskipun begitu, Akmal Rizal berharap seorang lagi peledak hadir untuk membantu jentera serangan Kelantan TRW.
Ini kerana kehadiran penyerang baharu dapat membantu pasukan itu menjelang aksi timbal balik nanti.
“Saya mengharapkan seorang lagi penyerang dan kami perlu sedia hadapi Imigresen (dalam aksi timbal balik).
“Kami tidak di kedudukan selesa, hanya mendahului dengan satu gol. Kami perlu lebih bersiap sedia untuk bermain di tempat sendiri,” ujarnya.
Selain Celestine, aksi itu turut menyaksikan orang besi baharu dari Indonesia, Yohanes Kandaimu membuat penampilan pertama bersama Kelantan TRW.