Kelab gergasi Iran, Sepahan terpaksa membayar harga mahal susulan pembatalan perlawanan ACL antara mereka dengan Al-Ittihad pada awal Oktober lalu.
Perlawanan yang dijangka meriah dan dihadiri 60,000 penonton itu diselubungi polemik gara-gara patung Jeneral Qasem Soleimani yang ditempatkan di Stadium Naghsh-e-Jahan.
Apabila perkara itu diketahui pasukan pelawat, Al-Ittihad enggan turun ke padang selagi mana patung tersebut tidak dialihkan ke tempat lain.
Bagaimanapun, Sepahan enggan melayan tuntutan tersebut. Dengan kedua-dua pihak enggan berkompromi, perlawanan tersebut kemudiannya dibatalkan.
Hari ini, AFC mengumumkan Sepahan didenda AS$200,000 (RM946,000). Selain itu, mereka juga tidak dibenarkan menggunakan Stadium Naghsh-e-Jahan untuk tiga aksi ACL seterusnya.
AFC turut menganugerahkan kemenangan 3-0 kepada Al-Ittihad. Ini membolehkan Al-Ittihad menerajui Kumpulan C dengan sembilan mata.
Sementara Sepahan pula berada di tempat ketiga dengan empat mata selepas tiga perlawanan.
Keputusan ini memberi ruang kepada The Tigers fokus kepada perlawanan Saudi Pro League menentang Al-Shabab pada awal pagi esok.