Perlawanan Piala AFC U-20 membabitkan Jordan dan Tajikistan semalam mencipta sejarah tersendiri dengan rekod antara kad merah paling pantas dilayangkan. Ini selepas pemain Jordan, Baker Kamal Kalbouneh dibuang padang baru lima saat separuh masa pertama berlangsung.
Sebaik sepak mula, rakan sepasukan Omar Al Osad cuba melambungkan bola ke sebelah atas bagi melancarkan serangan pantas. Bola dilihat akan ditanduk oleh pemain Tajikistan, Mekhrubon Karimov tetapi Baker cuba mencabarnya dengan cabaran kaki tinggi terhadap bek tengah FC Samgurali itu.
Cabaran kaki tinggi Baker bukan saja tidak mengenai bola tetapi mengenai Karimov. Sebaik insiden itu dikesan oleh pengadil Yahya Al-Mulla, beliau tidak teragak-agak melayangkan kad merah terhadap pemain muda Jordan itu.
Baker bernasib baik apabila skuad B-20 Jordan meraih kemenangan 2-0 walaupun beraksi dengan 10 orang pemain. Dua gol disumbang oleh Ali Ahmad Azaizeh dan Sief Addeen Darwish.
Rekod ini bagaimanapun tidak dapat memotong kad merah yang diterima Lee Tood pada 2000. Dalam perlawanan Cross Farm Park Celtic-Taunton East Reach, Todd dibuang padang selepas dua saat atas alasan bahasa yang digunakan terlampau kasar untuk pengadil.
Dengan kemenangan ini, Jordan menduduki tangga kedua Kumpulan C di belakang Korea Selatan selepas satu perlawanan. Pastinya, untuk perlawanan-perlawanan seterusnya, jurulatih Jordan menjadikan insiden Kaber ini sebagai satu pengajaran kepada pemain-pemainnya agar tidak terburu-buru dalam perlawanan.