Perlawanan tumpuan Liga Super yang menemukan tuan rumah, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor berakhir dengan kemenangan 2-0 berpihak kepada JDT. Namun ada sesuatu yang menarik berlaku ketika perlawanan tersebut dilangsungkan.
Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim itu, ramai di kalangan penyokong yang ternampak aksi sebuah robot sedang berjalan di atas padang. Penampakan robot tersebut nyata menjadi tanda tanya, apakah kegunaan robot tersebut sebenarnya.
Video yang memaparkan robot tersebut telah dimuatnaik salah seorang pengguna Tiktok dan ianya tular. Robot tersebut dipercayai adalah robot kamera atau di luar negara ianya lebih dikenali dengan nama Robotic Dolly.
Sudah tentu agak janggal bagi sesetengah penyokong yang belum pernah terlihat robotic dolly itu namun teknologi kamera tersebut telah lama digunakan di liga-liga ternama eropah seperti di Jerman, England dan Perancis.
Pada aksi semalam, JDT berjaya mengutip tiga mata berharga dengan Heberty dan Bergson masing-masing menjaringkan satu gol. Selangor walaupun tewas, mereka berjaya menunjukkan persembahan berkualiti lebih-lebih lagi ketika bertahan.
JDT semakin selesa di takhta liga dengan mengumpul 54 mata selepas 18 perlawanan yang diharungi. Manakala Selangor pula kekal berada di tangga kedua dengan mengumpul 40 mata selepas 19 perlawanan.