Aksi hangat Liga Super yang menemukan Kedah Darul Aman FC dan Selangor FC pada Sabtu ini sudah pasti akan menjadi tumpuan ramai dengan kedua-dua pasukan sedang merebut slot ke pentas Asia.
Dalam menantikan perlawanan hangat itu, pihak pengurusan Kedah telah membuat satu keputusan dengan mengajak semua penyokong yang hadir pada malam itu untuk membawa bendera Palestin bagi menyokong pembebasan Palestin daripada kekejaman tentera negara haram Israel.
“Dengan jangkaan 25,000 kehadiran penyokong di Stadium Darul Aman Sabtu ini, KDA FC menyeru agar seluruh penyokong yang hadir untuk sama-sama kita bersatu menyatakan sokongan kepada saudara kita di Palestine.
“Sorakan padu anda, kibaran bendera anda akan mencetus gelombang berita bukan sahaja di Alor Setar, bahkan seluruh Malaysia dan dunia. Jadilah sebahagian dari sejarah penyatuan kita menyokong kebebasan Palestine Sabtu ini,” coret KDA FC di laman Facebook rasmi kelab.
Namun begitu, pihak KDA FC telah memberi peringatan bahawa hanya bendera Palestin atau mafla solidariti Palestin sahaja yang dibenarkan untuk dibawa masuk.
Kain rentang berbaur provokatif, hasutan mahupun bahasa kesat tidak dibenarkan dibawa masuk sama sekali ke dalam stadium.
Kedah kini berada di landasan terbaik untuk ke pentas asia musim hadapan apabila menghuni tangga ketiga Liga Super. Hanya dipisahkan 2 mata daripada pasukan di tangga kedua, Selangor FC.
Kedua-dua pasukan ini juga perlu menunggu keputusan perlawanan akhir Piala Malaysia di antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu FC pada 8 Disember. Jika JDT memenangi aksi tersebut, slot ke Asia dibuka kepada naib juara Liga Super.
Namun seandainya Terengganu berjaya mencapai kemenangan, slot ke Asia musim hadapan menjadi milik pasukan Sang Penyu itu.