Pemain tengah Harimau Malaya, Syamer Kutty Abba melihat aksi persahabatan menentang New Zealand bakal membantu pasukan itu menjadi lebih baik.
Ini kali pertama kedua-dua pasukan bertemu sejak kali terakhir melakukannya pada 23 Februari 2006. Menariknya, aksi terakhir Malaysia dan New Zealand turut diadakan di Auckland.
Harimau Malaya yang ketika itu dibimbing Norizan Bakar tewas 2-1 kepada All Whites di Stadium North Harbour, Auckland. Tuan rumah mendahului pada minit ke-18 menerusi Campbell Banks.
Skuad negara kemudiannya menyamakan kedudukan menerusi Safee Sali pada minit ke-24. New Zealand kemudiannya meraih kemenangan menerusi gol lewat Andrew Barron.
Syamer melihat aksi persahabatan ini amat membantu Harimau Malaya lebih-lebih lagi menjelang ASEAN Championship 2024 yang bakal berlangsung pada penghujung tahun ini.
Selain membantu persiapan skuad negara, pemain tengah Penang FC itu melihat aksi menentang All Whites sebagai peluang mengukur kemajuan pasukan.
“Sudah tentu sasaran kita ialah kita pergi untuk menang dekat sana. Tapi sasaran lain ialah untuk kita merancang sejauh mana (kemajuan) yang kita datang macam yang saya cakap tadi.
“Persiapan amat pentinglah kerana bulan depan dan bulan 12 ada panggilan (skuad kebangsaan) lagi. Jadi, ini satu persiapan yang baik untuk pasukan dan untuk jurulatih,” katanya kepada media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Rombongan Harimau Malaya sudah tiba di Auckland selepas mengharungi penerbangan selama 10 jam. Sebagai persiapan menentang New Zealand, pasukan itu turut mengatur aksi persahabatan dengan sebuah kelab utama negara itu pada 11 Oktober.
Walau bagaimanapun, Harimau Malaya terpaksa melupakan khidmat kapten, Dion Cools. Cools terpaksa menarik diri daripada rombongan ke New Zealand kerana ada urusan keluarga yang perlu diselesaikan.
Skuad negara berharap dapat mengakhiri kemarau kemenangan ke atas All Whites. Kali terakhir perkara itu berlaku ialah pada 1 Julai 1999 semasa pasukan itu dibimbing Haji Abdul Rahman Ibrahim.
Malaysia menewaskan All Whites 2-1 di Stadium Shah Alam menerusi jaringan Azizul Kamaluddin dan Wan Rohaimi Wan Ismail. Manakala gol saguhati New Zealand dilakar oleh Chris Jackson menerusi sepakan penalti.