Peminat bola sepak negara menerima berita gembira kerana aksi Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/25 bakal disiarkan secara langsung di RTM.
Perkara ini dikongsikan oleh RTM menerusi satu kenyataan yang disiarkan di Berita RTM semalam.
RTM bakal menyiarkan 61 perlawanan Liga Malaysia iaitu 52 perlawanan Liga Super termasuk Piala Sumbangsih, lapan perlawanan Piala FA dan satu perlawanan akhir Piala Malaysia.
Kesemua perlawanan ini boleh ditonton di saluran TV Okey dan Sukan RTM serta RTMKlik.
Berita ini pasti melegakan peminat bola sepak tempatan yang mahu menonton perlawanan Liga M secara percuma di RTM.
Bagi menambah tarikan siaran perlawanan Liga M yang di RTM, stesen televisyen kerajaan itu bakal menggunakan teknologi terkini seperti teknologi realiti terimbuh (Augmented Reality/AR).
RTM juga dijangka menggunakan barisan pengulas dan pakar bola sepak (pundit) yang berpengalaman dan berwibawa bagi menambah kemeriahan siaran perlawanan.
“Pendekatan teknologi terkini dan kecerdasan buatan seperti Augmented Reality (AR) bakal digunakan sebagai pendekatan persembahan terbaharu khas sajian istimewa kepada penonton setia RTM.
“Demi merancakkan siaran, RTM membariskan pengulas-pengulas sukan yang berwibawa dan panel undangan terpilih yang sangat berpengalaman serta pakar dalam bidang sukan bola sepak tanah air,” kata RTM dalam satu kenyataan.
Saingan Liga Super musim 2024/25 menyaksikan persaingan 13 pasukan iaitu Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC), Selangor FC, Sabah FC, Sri Pahang FC, KL City FC, Penang FC, Kuching City FC, Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Perak FC, PDRM FC, Kelantan Darul Naim FC (KDN FC), Terengganu FC dan Negeri Sembilan FC.
Saingan liga bakal dimulakan dengan saingan Piala Sumbangsih antara Selangor dan JDT di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada Jumaat ini.