Advertisement
Aksi Malaysia Di UAE Tertangguh Bersebab
Harimau Malaya
MakanBola
Aima/MakanBola

Perancangan Malaysia untuk mengadakan beberapa aksi persahabatan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada awal Mac lalu gagal direalisasikan atas beberapa sebab.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin mendedahkan ini disebabkan beberapa kelab enggan melepaskan pemain mereka menyertai skuad kebangsaan.

Tanpa ramai pemain menyertai kem Harimau Malaya, ini menyukarkan perancangan FAM dan jurulatih negara, Kim Pan-gon untuk merealisasikan dua aksi persahabatan di UAE.

Ini memaksa Harimau Malaya hanya berjaya menganjurkan satu aksi persahabatan menentang Nepal sebelum dua aksi kelayakan menentang Oman pada Mac lepas.

“Kim Pan-gon minta untuk bermain dua aksi persahabatan dengan kelab di UAE, kita ada cari. Tapi masa kita runding dengan kelab, beberapa kelab tak boleh bagi (pemain). Takkan lima orang nak pergi.

“Masa itu berapa haribulan, JDT (Johor Darul Ta’zim FC) dan Selangor (tak bagi). Itu saja sebabnya. Saya cakap dengan Pan-gon, ‘Saya tak nak lawan kelab, saya nak lawan negara.’

“Tapi masa itu bukan kalendar FIFA. Anda kena ingat bila dalam kalendar FIFA, di luarnya kalendar liga. Yang betulnya, kita tak dapat persiapan penuh.

“Itu sebab bila kelab rujuk kita, sudah terlampau lewat. Itu sebab kita pergi Oman awal beberapa hari sebelum itu,” katanya dalam sidang media selepas Kongres Tahunan FAM Ke-60 baru-baru ini.

Situasi ini bukan saja menyumbang kepada dua kekalahan skuad negara di tangan Oman pada Mac lalu.

Malah, ini mengakibatkan ranking FIFA negara merudum ke tangga ke-138 dan dipintas Indonesia yang menduduki tangga ke-134.

Malaysia kini memiliki baki dua perlawanan kelayakan Piala Dunia 2026 pada Jun ini iaitu menentang Kyrgyzstan dan Taiwan.