Pengendali skuad Malaysia Bawah 23 Tahun (B-23), Juan Torres Garrido melihat dua aksi persahabatan menentang India sebagai aksi penting buat skuad negara.
Malaysia bakal bertemu dengan pasukan dari Asia Selatan itu pada 22 dan 25 Mac ini untuk dua aksi persahabatan tertutup.
Meskipun tempoh antara dua perlawanan itu cukup singkat, Garrido melihat ini sebagai sebahagian daripada cara untuk skuad negara beradaptasi bila mendepani Piala Asia B-23 di Qatar nanti.
“Perancangan kita sekarang ialah dua perlawanan menentang India pada 22 dan 25 Mac. Selepas itu kita akan berlatih di sini sehingga 31 Mac.
“Pada tengah malam 31 Mac (1 April), kita akan bertolak ke Doha, Qatar. Kemudian kita akan ada dua perlawanan pada 2 dan 7 April menentang China dan Qatar.
“Kemudian dari situ, persiapan untuk kejohanan (Piala Asia B-23). Ini mungkin singkat tetapi kita anggap ia seperti pra-musim,” katanya kepada media pada sesi latihan di Wisma FAM semalam.
Malaysia bakal mendepani Piala Asia B-23 2024 di Qatar yang bermula pada 15 April ini. Malaysia berada dalam Kumpulan D bersama Vietnam, Uzbekistan dan Kuwait.