Aksi Malaysia yang dibayangkan bertemu pasukan ke-18 dunia menjadi kenyataan.
Skuad kendalian Peter Cklamovski dalam momentum cemerlang apabila berjaya merakamkan kemenangan 4-0 ke atas jaguh Asia Tenggara, Vietnam.
Kemenangan kedua pada peringkat Kumpulan B, Pusingan Kelayakan Akhir Piala Asia 2027 itu menyaksikan skuad kebangsaan merekodkan 6 mata selepas dua perlawanan.
Satu lagi cabaran besar menanti skuad Harimau Malaya pada bulan September ini apabila akan beraksi di CAFA Nations Cup.
Aksi di Hisor, Tajikistan menyaksikan Malaysia diundi dalam Kumpulan B dan bersama Tajikistan, Iran dan Afghanistan dengan cabaran bermula pada Jumaat, 29 Ogos 2025.
Ujian terbesar pasukan kebangsaan adalah aksi kedua menentang pasukan ke-18 dunia, Iran pada Isnin, 1 September 2025 sebelum berdepan Afghanistan pada Khamis, 4 September ini.
Malaysia memiliki rekod cemerlang di bawah kendalian Cklamovski selepas tidak tewas dalam tiga aksi awal sejak pengendali Australia itu mengambil alih pasukan, awal tahun 2025.
Kali terakhir Malaysia menguji pasukan berstatus wakil di Piala Dunia adalah pada aksi Piala Asia 2023 menentang pasukan ke-23 dunia, Korea Selatan dengan aksi berkesudahan seri 3-3.