Minggu terakhir Liga Super musim 2024/25 menyaksikan aksi Terengganu FC dan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) merekodkan kehadiran tertinggi.
Aksi membabitkan Peteh dan Sang Kenari pada 20 April lalu menyaksikan 4,281 orang hadir di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA).
Penyokong Terengganu ceria apabila anak buah Badrul Afzan Razali meraih kemenangan 3-0 ke atas pasukan pelawat.
Aksi Sabah FC dan Perak FC di Stadium Likas pula merekodkan kehadiran kedua tertinggi iaitu 3,892 orang.
Hasrat Sang Badak meraih kemenangan di Likas musnah apabila gol sendiri Rawilson Batuil membantu Perak mencuri tiga mata.
Aksi Selangor FC dan PDRM FC pula merekodkan kehadiran 2,284 orang penonton. Penyokong Merah Kuning ceria apabila tuan rumah menewaskan The Cops 2-0.
Tiga lagi aksi liga merekodkan kehadiran tiga angka. Aksi KL City FC dan Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur merekodkan 911 orang.
Sri Pahang FC mengakhiri musim 2024/25 dengan positif apabila menewaskan Penang FC 3-2. Aksi ini merekodkan kehadiran 633 orang.
Aksi Negeri Sembilan FC dan Kuching City FC merekodkan kehadiran terendah iaitu 271 orang di Paroi.
Jumlah keseluruhan kehadiran aksi Liga Super minggu 26 menyaksikan 12,272 orang hadir.