Juara bertahan Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE), Al-Ahli membidas kualiti pengadilan aksi terbaru Saudi Pro League (SPL) membabitkan pasukan itu baru-baru ini.
Aksi SPL antara Al-Ahli dan Al-Fayha berakhir dengan keputusan 1-1. Meskipun begitu, beberapa keputusan pengadil mencetuskan kemarahan kelab itu terutama jurulatih mereka, Matthias Jaissle.
Ini termasuk dua insiden sepakan penalti yang sepatutnya dianugerahkan kepada anak buah Jaissle.
Penyerang England, Ivan Toney dan Galeno kemudiannya mendakwa pegawai keempat perlawanan mengesyorkan Al-Ahli agar fokus kepada ACLE berbanding trofi juara SPL.
Susulan itu, Al-Ahli mengeluarkan satu kenyataan tegas membidas kualiti pengadilan yang buruk dalam perlawanan tersebut.
“Kelab Al-Ahli menyatakan rasa tidak puas hati terhadap kesalahan-kesalahan pengadilan yang memberi kesan kepada perlawanan skuad bola sepak utama menentang Al-Fayha dalam perlawanan ke-29 Saudi Roshn League.
“Keputusan pengadil memberi impak kepada perjalanan perlawanan dan keputusan akhir di mana ia memberi kesan kepada kedudukan pasukan itu dalam memburu kejuaraan liga.
“Kesilapan-kesilapan begini mencetuskan rasa bimbang berhubung proses pemilihan pengadil dan kriteria yang digunakan terutama dengan mengambil kira tahap persaingan dan teknikal taraf tinggi Saudi Roshn League,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Selain meminta akses rakaman dan komunikasi antara pengadil dan pegawai VAR, Al-Ahli turut menuntut penjelasan untuk semua insiden yang berlaku dalam perlawanan itu.
Situasi ini turut menarik perhatian legenda Arab Saudi, Sami Al-Jaber. Sami menggesa Persekutuan Bola Sepak Arab Saudi (SAFF) untuk menilai kualiti pengadilan SPL selepas ini.
Ini kerana pada hemat legenda Al-Hilal itu, perkara sebegini berpotensi menjejaskan imej SPL dan bola sepak negara itu.