Penyerang Serbia, Aleksandar Mitrovic menyifatkan kelab barunya, Al-Hilal setaraf dengan pasukan gergasi Sepanyol, Real Madrid.
Ini kerana prestij kelab berkenaan di benua Asia hampir sama dengan prestij yang dimiliki kelab Sepanyol itu di pentas Eropah. Jadi, sukar untuk beliau menolak peluang beraksi untuk Al-Hilal selepas lapan tahun berkelana di England.
“Bila saya menerima tawaran dari Al-Hilal, saya sudah membincangkannya dengan keluarga saya, mustahil untuk mengaku kalah.
“Saya tiada nostalgia bersama England. Saya sudah bermain di sana selama beberapa tahun. Saya gembira akhirnya tiba di kelab hebat, Al-Hilal yang seperti Real Madrid di Eropah,” katanya kepada Gazzeta Dello Sport seperti dilaporkan Daily Mail.
Dari segi trofi, pencapaian The Blue Waves tidak kurang hebatnya dengan Real Madrid. Mereka menjulang 66 gelaran juara termasuk juara Liga Juara-Juara AFC (ACL) sebanyak empat kali.
Walaupun pencapaian mereka di peringkat benua tidak sebanyak Los Blancos (14 kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah (UCL)), ia masih satu pencapaian yang hebat buat Al-Hilal.
Dengan pengakuan tersebut, Mitrovic melihat dua kelab lamanya, Fulham dan Newcastle United tidak setaraf langsung dengan prestij dimiliki kelab gergasi Arab Saudi itu.
Mitrovic yang semakin serasi dengan Neymar dan Malcom diharap dapat membantu Al-Hilal merobek kelab Uzbekistan, Navbahor dalam aksi pertama ACL Kumpulan D pada awal pagi 19 September ini.