Cristiano Ronaldo dan Al-Nassr terus kempunan trofi bagi musim 2024 ini selepas ditewaskan Al-Hilal pada aksi final Piala Raja Saudi awal pagi tadi.
Kedua-dua pasukan menurunkan skuad terkuat dengan Al-Nassr mempertaruhkan beberapa nama besar seperti Cristiano Ronaldo, Otavio, Sadio Mane dan Marcelo Brozovic.
Aksi dimulakan dengan Al-Hilal terlebih dahulu di hadapan seawal minit ke-8 melalui penyudah penyerang berbisa, Aleksandar Mitrovic yang menanduk kemas hantaran Malcom. Al-Hilal di hadapan 1-0.
Ronaldo mempunyai peluang keemasan untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-36 namun percubaannya dari jarak dekat berjaya dihalang penjaga gol Al-Hilal, Yassine Bounou.
Kedudukan 1-0 itu kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, Ronaldo sekali lagi membawa Al-Nassr kepada momentum serangan dengan hampir sahaja menyamakan kedudukan pada minit ke-46 melalui satu penyudah akrobatik yang hanya singgah di tiang gol.
Al-Nassr terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada minit ke-56 selepas penjaga gol, David Ospina diperintahkan keluar padang kerana menyelamatkan bola menggunakan tangan di luar kotak penalti.
Beraksi dengan lebihan seorang pemain menyaksikan Al-Hilal lebih rancak menyerang dengan beberapa percubaan merbahaya.
Pada minit ke-88, giliran Al-Hilal beraksi dengan 10 pemain selepas Ali Al-Bulayhi dilayangkan kad kuning kedua seterusnya kad merah selepas dikesan menyerang pemain lawan.
Selang seminit selepas kad merah itu, Al-Nassr berjaya menyamakan kedudukan melalui jaringan Ayman Yahya melalui tandukan tajam sekali gus menamatkan perlawanan 90 minit dengan kedudukan 1-1.
30 minit masa tambahan yang dijalankan selepas itu juga menyaksikan tiada tambahan jaringan dihasilkan dan membawa perlawanan kepada penentuan sepakan penalti.
Al-Hilal disahkan sebagai pemenang Piala Raja Saudi selepas memenangi penentuan sepakan penalti dengan keputusan 5-4.
Kemenangan Al-Hilal ini menyaksikan Al-Nassr terus dahagakan trofi musim ini selepas turut tewas kepada Al-Hilal dalam perebutan juara liga bagi musim 2023/24.