Al-Nassr terus menghambat pendahulu Saudi Pro League, Al-Hilal dengan mencipta kemenangan ke atas Al-Fayha awal pagi ini.
Al-Alami tahu hanya kemenangan saja yang dapat merapatkan jurang mereka dengan Al-Hilal yang dibimbing bekas pengurus Benfica, Jorge Jesus.
Manakala Al-Fayha pula mahu bangkit selepas dikecewakan kelab Emiriah Arab Bersatu (UAE), Al-Ain dalam saingan ACL baru-baru ini.
Babak pertama menyaksikan pelawat mendominasi perlawanan. Begitupun, kekentalan pertahanan The Orange diketuai Hussain Al-Showaish memastikan keputusan kekal tanpa jaringan.
Bersambung pada babak kedua, gol yang dicari Al-Alami akhirnya muncul pada minit ke-50 menerusi Anderson Talisca.
Bekas penyerang Guangzhou Evergrande itu kemudiannya menambah gol kelapan beliau musim ini menerusi gol pada minit ke-61.
Bagaimanapun, keceriaan pelawat tidak bertahan lama apabila Al-Showaish berjaya membolosi gawang mereka pada minit ke-66.
Al-Nassr yang dibimbing Luiz Castro memastikan kelebihan dua gol mereka kembali diraih menerusi rembatan cantik Otavio pada minit ke-74.
Keputusan 3-1 kekal sehingga tamat perlawanan. Biarpun tidak menjaringkan gol hari ini, Cristiano Ronaldo menjadi pencipta gol pertama Talisca.
Dengan impak yang ditunjukkan sepanjang perlawanan, tidak hairanlah Sofascore mengiktiraf penyerang Brazil itu sebagai pemain terbaik perlawanan.
Sofascore memberi penilaian 8.8 mata kepada Talisca. Sementara Abdelhamid Sabiri pula diiktiraf pemain terbaik The Orange dengan penilaian 8.1 mata.