Hajat Al-Nassr meraih trofi pertama untuk musim 2024/25 musnah apabila tewas kepada musuh tradisi, AL-Hilal dalam aksi final Saudi Super Cup 2024.
Kedua-dua pasukan masing-masing berjaya layak ke final selepas menewaskan Al-Taawoun dan Al-Ahli di peringkat separuh akhir.
Separuh masa pertama menyaksikan corak permainan seimbang membabitkan kedua-dua pasukan dalam memburu gol.
Jentera serangan Al-Alami diketuai Cristiano Ronaldo berusaha menembusi gawang Al-Hilal yang dikawal penjaga gol Maghribi, Yassine Bounou.
Mereka terpaksa menunggu sehingga minit ke-44 untuk membuka tirai jaringan menerusi bekas penyerang Manchester United itu. Gol tersebut memastikan Al-Nassr mendahului 1-0 sehingga rehat.
Tersentak, The Blue Waves mempamerkan kebangkitan hebat pada separuh masa kedua. Pemain tengah Serbia, Sergej Milinkovic-Savic menyamakan kedudukan buat Al-Hilal pada minit ke-55.
Juara Saudi Pro League (SPL) musim 2023/24 itu kemudiannya mendahului pada minit ke-63 menerusi bekas penyerang Fulham, Aleksandar Mitrovic. Mitrovic semakin berbisa apabila menyumbat gol ketiga Al-Hilal enam minit selepas itu.
Bekas pemain sayap Barcelona, Malcom memastikan kemenangan sah milik The Blue Waves pada minit ke-72. Kejayaan ini sekaligus membolehkan Al-Hilal mengekalkan kejuaraan Saudi Super Cup buat kali kedua berturut-turut sejak 2023.
Impak besar Mitrovic turut diiktiraf Sofascore sebagai pemain terbaik perlawanan. Beliau menerima markah 9.1, 1.4 mata di hadapan Malcom.
Selepas ini, Al-Nassr akan menentang Al-Raed untuk aksi pembukaan SPL pada awal pagi 23 Ogos. Manakala Al-Hilal pula akan menentang Al-Okhdod pada awal pagi 25 Ogos.