Selangor FC menerima suntikan semangat apabila pemain tengah import dari Ghana, Alex Agyarkwa sudah kembali cergas sepenuhnya.
Sebelum ini, Agyarkwa terpaksa berehat selama dua bulan akibat kecederaan. Kecederaan itu dialami dalam aksi final Piala FA 2024 antara Merah Kuning dan Harimau Selatan.
Situasi ini menyebabkan pemain tengah Ghana itu bukan saja terlepas beberapa aksi Liga Super. Malah, Agyarkwa terpaksa menunggu membuat penampilan pertama dalam saingan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).
Semua itu berubah apabila nama pemain tengah berusia 24 tahun itu disenaraikan dalam senarai pemain simpanan aksi Piala MFL antara Selangor dengan Johor Darul Ta’zim FC (JDT) II pada 17 Oktober lalu.
Pemangku jurulatih skuad Piala MFL Selangor, Shaiful Nizam Ab Khamis kemudiannya memasukkan Agyarkwa sebagai pemain gantian pada minit ke-63.
Meskipun skuad muda Merah Kuning tewas 2-1 kepada pendahulu Piala MFL itu, kehadiran semula bekas pemain Accra Lions itu bakal menambah kekuatan di bahagian tengah Selangor.
Selain Agyarkwa, Selangor turut memiliki pemain tengah kebangsaan, Nooa Laine dan tonggak import baru dari Croatia, Nikola Jambor sebagai alternatif di bahagian tengah bertahan.
Ini bakal membantu pengendali Merah Kuning, Nidzam Jamil dalam mencorak perancangan pasukan untuk beberapa aksi penting pasukan itu selepas ini.
Selangor bakal turun menentang PDRM FC di Selayang pada 19 Oktober. Ini disusuli aksi Kumpulan H ACL2 dengan kelab Korea Selatan, Jeonbuk Hyundai Motors pada 23 Oktober.
Dan pada 27 Oktober, Merah Kuning bakal berentap dengan JDT untuk aksi Liga Super seterusnya di Stadium MBPJ.