Beregu wanita utama Malaysia, Pearly Tan dan M. Thinaah kempunan mara ke separuh akhir All England Open 2025 apabila tewas kepada beregu Jepun, Nami Matsuyama dan Chiharu Shida.
Meskipun Pearly berdepan masalah kecederaan, itu tidak menghalang beregu kelima dunia itu mara ke suku akhir. Pearly-Thinaah mara selepas menyingkirkan beregu Indonesia, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti.
Kini, beregu negara perlu menamatkan badi Matsuyama-Shida jika ingin mara ke peringkat separuh akhir. Beregu nombor tiga dunia itu kerap menjadi penghalang buat Pearly-Thinaah.
Kali terakhir kedua-dua beregu bertemu ialah saingan World Tour Finals 2024. Pearly-Thinaah berjuang habis-habisan sebelum tunduk dengan keputusan 21-13, 17-21, 18-21.
Set pertama menyaksikan kedua-dua beregu bersaing sengit mendapatkan mata. Matsuyama-Shida kemudiannya mendahului pada kedudukan 11-9.
Pearly-Thinaah berjaya mengejar sebelum mengikat kedudukan 17-17. Matsuyama-Shida kembali memperkemas rentak permainan sebelum menang dengan keputusan 21-17.
Set kedua menyaksikan beregu Jepun itu terus mempamerkan prestasi menyakinkan dengan mendahului pada kedudukan 12-8.
Pearly-Thinaah berjaya mengejar dan mengikat kedudukan 15-15. Kedua-dua beregu terus bersaing sengit sebelum Matsuyama-Shida meraih kemenangan 21-19.
Beregu Jepun itu bakal berdepan sama ada beregu pilihan kedua, Liu Sheng Shu-Tan Ning atau Treesa Jolly-Gayatri Gopichand Pullela di peringkat separuh akhir.