Bekas pemain TRW Kelantan FC, Allee Putra memilih untuk kembali ke Liga Malaysia selepas membuat keputusan untuk menyertai pasukan PDRM.
Pemain berusia 19 tahun ini memperkuat pasukan PDRM selepas meninggalkan kelab yang berpangkalan di Sepanyol, FC Malaga City.
Allee Putra kembali ke Malaysia atas urusan peribadi biarpun difahamkan beliau mendapat tawaran untuk kekal dan terus beraksi di Sepanyol.
Allee juga bakal beraksi bersama pasukan B-23 PDRM dalam saingan Piala MFL. Khidmat pemain asal Kelantan ini sudah pasti ditagih skuad utama dan pasukan muda PDRM sekaligus menambah pilihan buat jurulatih di bahagian serangan.
Untuk rekod, Allee Putra sempat beraksi dalam kancah Liga Malaysia bersama pasukan TRW Kelantan FC pada tahun 2022-2023. Kini beliau kembali ke Malaysia dan beraksi bersama skuad ‘Sang Saka Biru’ untuk musim 2024-2025.