AllStar Legends Gegar Kuala Lumpur, Steven Gerrard Jadi Tarikan Utama
MakanBola
Edited By WAWZ

Barisan legenda diketuai Steven Gerrard bakal menceriakan peminat bola sepak negara menerusi perlawanan AllStar Legends tidak lama lagi.

Ini kerana perlawanan ini bakal menghimpunkan ramai legenda ikonik bola sepak dunia di TM Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Selain Gerrard, aksi ini turut menampilkan ramai legenda lain termasuk bekas peledak Barcelona, Javier Saviola, pemenang Piala Dunia 2002 dari Brazil, Dida dan bekas bek tengah Manchester United, Jaap Stam.

Pengarah Projek AllStar Sports, Steven Windsor menyifatkan perlawanan ini bukan saja meraikan bintang-bintang ikonik dunia.

Malah, ini juga peluang peminati mengubati rindu terhadap bintang-bintang kesayangan mereka yang pernah beraksi satu ketika dahulu.

“Sukan sentiasa menjadi jambatan yang menghubungkan komuniti, dan bola sepak pula berada di tempat istimewa di hati kita.

“Acara seperti ini bukan sahaja meraikan para pemain — malah turut meraikan peminat, yang menjadikan bola sepak cukup istimewa melalui semangat dan cinta mereka terhadap sukan ini.

“Permainan bola sepak juga mengingatkan kita bahawa walaupun dunia berpecah-belah, namun detik-detik seperti ini mampu menghidupkan keharmonian, perasaan saling menghormati dan harapan untuk keamanan yang berkekalan,” katanya.

Windsor turut memaklumkan aksi ini bukan saja bakal menghiburkan penyokong yang hadir. Malah, ia berpotensi menjadi sebahagian daripada takwim sukan tahunan tempatan.

“Pasukan AllStar Premier Legends dan AllStar World Legends adalah dua pasukan yang benar-benar mencerminkan semangat permainan ini.

“Tenaga, bakat dan semangat juang mereka menjadikan pertembungan ini seimbang manakala para peminat bakal menyaksikan satu perlawanan yang mendebarkan serta sukar dilupakan.

“Kami percaya padanan ini bukan sahaja akan mempamerkan permainan bola sepak berkualiti tinggi, malah turut mewujudkan suasana yang menarik dan penuh kehangatan untuk semua yang hadir,” tambahnya.

Perlawanan AllStar Legends dijangka berlangsung pada 3 Oktober ini.