Alvin Fortes Dipanggil Perkuat Cape Verde Bertemu Harimau Malaya
MakanBola
SFC/MNT

Pemain sayap Selangor FC, Alvin Fortes bakal menguji kekentalan barisan pertahanan Harimau Malaya di pentas antarabangsa.

Ini selepas pemain sayap berusia 30 tahun itu menjadi sebahagian daripada 36 pemain yang dipanggil Persekutuan Bola Sepak Cape Verde (FCF).

Fortes berpeluang menambah satu-satunya penampilan antarabangsa bersama The Blue Sharks. Penampilan itu diraih dalam aksi persahabatan menentang Algeria pada Jun 2018.

Cape Verde yang ketika itu dibimbing Rui Aquas mencipta kejutan dengan menewaskan Algeria 3-2. Fortes meraih penampilan pertama sebagai pemain gantian pada minit ke-78.

Bekas pemain sayap Ratchaburi itu menikmati musim cemerlang bersama Selangor. Beliau merekodkan 27 penampilan, 20 gol dan lima bantuan gol dalam semua kejohanan.

Fortes bukan satu-satunya pemain yang berpangkalan di Asia yang dipanggil jurulatih The Blue Sharks, Bubista.

Cape Verde turut memanggil kapten PSM Makassar, Yuran Fernandez dan pemain pertahanan Al-Bataeh, Diney Borges.

The Blue Sharks akan menentang Harimau Malaya untuk aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada 29 Mei. Ini disusuli aksi tertutup di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 3 Jun.

Cape Verde akan menutup aksi persahabatan mereka dengan menentang Georgia pada 8 Jun.