Pemain import Kedah kelahiran Sweden, Amin Nazari berazam meningkatkan nama skuad Lang Merah apabila skuadnya bakal beraksi di peringkat Asia untuk laluan ke saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) bermula 21 Januari depan.
Pemain yang pernah mewakili skuad kebangsaan Filipina tahun lalu mengakui ia masa yang tepat untuk skuad Kedah kembali melonjakkan nama di persada Asia sepertimana pernah dibuktikan sebelum ini.
“Saya teruja menyertai Kedah untuk musim 2020 dan berazam memberi aksi terbaik.
“Jika dilihat, semua pemain memiliki semangat yang tinggi untuk mencapai matlamat musim 2020 nanti.
“Kami akan bekerja keras untuk meletakkan nama Kedah pada tahap terbaik musim depan.
“Justeru, apa sahaja usaha yang dilakukan mestilah bertujuan meningkatkan nama pasukan dan nama Kedah di peringkat tertinggi.
“Saya yakin tempoh latihan dan persiapan pramusim sedang dilalui Kedah sebelum aksi perlawanan peringkat Asia bulan depan dan peluang terbaik untuk membuktikan keupayaan seperti dinanti dan diharapkan oleh peminat Kedah,” katanya.
Pemain berdarah kacukan Iran-Filipina yang pernah beraksi bersama kelab Malmo FF di Sweden dan Ratchaburi Thailand ini akan membantu untuk melayakkan Kedah ke Liga Juara-Juara Asia (ACL) bagi musim 2020.