Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari tidak dapat menyembunyikan rasa kecewa terhadap Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) kerana mengenakan hukuman berat ke atas Selangor FC.
Pada 25 Jun lalu, Selangor dikenakan hukuman potongan tiga mata, denda RM100,000 dan membayar ganti rugi kepada MFL dan Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) oleh badan pengelola liga berkenaan.
Selangor juga diarah perlu beraksi tanpa penonton untuk aksi minggu ke-14 Liga Super menentang JDT.
Susulan itu, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menyatakan rasa murka dan kecewa kepada MFL ke atas apa yang berlaku.
Ini kerana baginda berpandangan hukuman yang dijatuhkan pengelola Liga Malaysia (Liga M) itu sebagai berat dan tidak berperikemanusiaan.
Amirudin turut senada dengan baginda menerusi satu kenyataan rasmi di platform media sosial rasminya. Beliau menyifatkan apa yang dilakukan MFL sebagai tidak sensitif dan tidak bertanggungjawab.
Amirudin merasakan MFL sepatutnya mempertimbangkan semua faktor yang berlaku terlebih dahulu sebelum menjatuhkan hukuman ke atas Selangor. Ini termasuk insiden simbahan asid yang menimpa pemain sayap kebangsaan, Faisal Halim pada Mei lalu.
“Titah Tuanku Sultan Selangor dizahirkan setelah tindakan MFL yang bukan sahaja mengenakan denda RM100,000 kepada pasukan Selangor FC, tetapi menambah hukuman dengan memaksa perlawanan di Selangor dimainkan tanpa penonton.
“Tambahan kepada itu, MFL bertindak menambah beban Selangor FC dengan mengenakan denda pemotongan tiga mata pada masa pasukan JDT sudah menerima kemenangan percuma dalam Piala Sumbangsih.
“Tindakan yang tidak pernah berlaku ataupun ‘unprecedented‘ ini yang mengundang rasa kemarahan dan kekecewaan dalam kalangan para penyokong seharusnya menjadi isyarat kepada MFL bahawa keputusan mereka dibuat tanpa sebarang rasa tanggungjawab,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Susulan itu, kerajaan negeri Selangor bersetuju melancarkan usaha bersama bagi memberi peluang kepada semua pihak termasuk penyokong untuk mengumpul dana dan membayar denda MFL.
“Mengambil iktibar dan pedoman titah DYMM Sultan Selangor, saya telah berbincang dengan EXCO Sukan Negeri Selangor dan kerajaan negeri bersetuju melancarkan usaha bersama yang memberikan peluang kepada semua pihak termasuk para peminat Merah Kuning bagi mengumpul dana untuk membayar denda yang dikenakan oleh MFL.
Sebagai tanda solidariti bersama skuad Merah Kuning, Amirudin dan barisan EXCO Negeri Selangor juga akan menyumbang kepada usaha berkenaan.