Amorim Mahu ‘Sorok’ Bruno Fernandes
MakanBola
Manchester United

Jurulatih Manchester United, Ruben Amorim harap dapat mengekalkan khidmat kapten mereka, Bruno Fernandes.

Komen itu dilontarkan jurulatih Portugal itu selepas timbul khabar angin yang mengaitkan pemain berusia 30 tahun itu dengan Real Madrid.

Los Blancos dilaporkan bersedia mendapatkan Fernandes dengan yuran perpindahan sebanyak £90 juta (RM515 juta).

Khabar ini timbul susulan prestasi bagus yang ditampilkan bekas pemain perancang Sporting Lisbon sepanjang musim 2024/25. Fernandes sudah menjaringkan 16 gol dan mencipta 15 bantuan gol musim ini.

Apabila diminta mengulas tentang spekulasi perpindahan tersebut, Amorim pantas menafikan khabar angin tersebut.

“Bruno Fernandes ke Real Madrid? Itu tidak akan berlaku. Beliau tidak akan pergi ke mana-mana,” katanya seperti dilaporkan Daily Mail.

“Satu hari nanti kita mahu menang Liga Perdana Inggeris (EPL) sekali lagi. Jadi, kami nak semua pemain terbaik kekal bersama kita dan Bruno tidak akan pergi, saya sudah beritahu beliau!”

Bisa Fernandes dijangka ditagih Amorim menjelang aksi EPL seterusnya menentang Nottingham Forest pada awal pagi 2 April ini.