Baru-baru ini Harimau Malaya telah bermain di kejohanan empat penjuru yang dikenali sebagai King’s Cup; di mana Thailand selaku tuan rumah telah menjemput beberapa pasukan – Malaysia, Trinidad & Tobago serta Tajikistan untuk bermain dalam format mini karnival di Chiang Mai.
Harimau Malaya berjaya mara ke perlawanan akhir apabila menundukkan Thailand dalam perlawanan pertama, namun harus akur dengan nasib yang tidak menyebelahi di perlawanan akhir apabila ditundukkan Tajikistan menerusi sepakan penalti.
Mengkaji dua perlawanan Harimau Malaya di kejohanan tersebut, terdapat beberapa kekuatan (yang wajib dikekalkan dan dipertajam bagi menghadapi Piala AFF serta Piala Asia) dan juga kelemahan (yang harus segera diperbaiki jika tidak mahu dieksploitasi) yang dapat dibedah serta dipelajari.
Kekuatan Harimau Malaya
- Kepelbagaian Sistem-Formasi & Fluidity Dalam Permainan
Tidak dinafikan, sejak Kim Pan-gon mengambil alih, aspek ini menjadi salah satu titik kekuatan Harimau Malaya. Pan-gon tidak gemar rigid dengan satu formasi-sistem, sebaliknya beliau mengubah formasi-sistem ini perlawanan demi perlawanan; berdasarkan lawan yang dihadapi.
Perkara ini sudah jelas kelihatan ketika Harimau Malaya menyudahkan baki kempen kelayakan Piala Asia lagi dan ianya berlanjutan dalam kejohanan King’s Cup ini. Pan-gon bertukar antara sistem bek bertiga (3-4-3) dengan sistem bek berempat (4-3-3).
Malah yang lebih mengujakan adalah faktor ‘kecairan’ sistem-formasi tersebut di dalam permainan. Mengambil teori Pan-gon ‘meminjam’ model JDT sebagai asas (dalam permainan JDT kerap bertukar daripada 3-5-2 kepada 4-3-3 atau sebaliknya); ‘kecairan’ itu turut berlaku bagi Harimau Malaya.
Bek bertiga kadangkala bertukar jadi bek berempat dalam permainan, bergantung kepada pergerakan dan perubahan posisi tiga pemain JDT dalam skuad Harimau Malaya iaitu Arif Aiman, Matthew Davies dan Corbin Ong – sama seperti yang mereka bertiga lakukan di JDT.
Dalam kejohanan King’s Cup ini pula, ketika perlawanan menentang Thailand; meskipun di atas kertas Harimau Malaya bermula dengan 3-4-3 namun di dalam padang ianya ‘mencair’ kepada 3-2-3-2 (seperti rajah di bawah) apabila Asymmetrical Back 3 terbentuk ketika fasa Playing Out from the Back.
Ia juga boleh menjadi 3-3-1-3 (seperti rajah). Safawi Rasid daripada Right Wing Forward ‘masuk’ ke dalam untuk lebih floating sebagai no.10 di belakang Darren Lok.
Dalam perlawanan menentang Tajikistan pula Harimau Malaya bermula dengan 4-3-3 namun di dalam padang formasi-sistem ini ‘mencair’ kepada 4-2-3-1 apabila Nazmi dan Brendan bertindak sebagai Double Pivot, menolak Safawi lebih di atas dengan peranan no.10 (seperti rajah di bawah).
- Sentiasa Cuba Menyukarkan Lawan dengan High Pressing
Perkara ini juga sudah kelihatan ketika baki saingan kelayakan Piala Asia namun ianya sekali lagi dipertontonkan di kejohanan King’s Cup ini – bukti bahawa Pan Gon gemar menekan dan menyukarkan lawan dengan High Pressing.
Ketika menentang Thailand, High Pressing daripada Harimau Malaya sangat tersusun dan berstruktur ketika di separuh masa pertama; meski Thailand juga menyukarkan kita dengan High Pressing mereka. Boleh dikatakan separuh masa pertama perlawanan ini adalah pertarungan High Pressing kedua pasukan.
Namun intensiti Pressing agak mengendur di separuh masa kedua. Tidak pasti jika Pan-gon memang ingin bertahan di Mid-Block kerana sudah mendahului lawan tetapi ada beberapa ketika di mana tiga pemain serangan sahaja yang melakukan Pressing, tanpa support dan jarak yang betul daripada pemain Second Line (Second Line Presser) dan itu memudahkan Thailand build up.
Menentang Tajikistan; elemen High Pressing masih kelihatan walaupun tidak sekerap menentang Thailand – mungkin Pan-gon tidak ingin mengambil risiko kerana faktor permukaan padang yang basah dan licin akibat hujan lebat.
- Counter Pressing yang Menciptakan Pressing Trap
Selain gemarkan High Pressing, Pan-gon juga gemar jika pemain Harimau Malaya melakukan Counter Pressing – terus menekan lawan apabila kehilangan bola, cuba merampas kembali bola dan tidak terus kembali kepada Defensive Organization.
Counter Pressing ini banyak terjadi ketika menentang Thailand, malah gol pertama hasil jaringan Corbin Ong juga adalah hasil daripada Counter Pressing di dalam Half pasukan Thailand.
Berani melakukan Counter Pressing dan secara reflek melakukan gerakan ini sudah pasti memberikan kesukaran kepada pasukan lawan kerana secara tidak langsung Pressing Trap akan tercipta dan sudah tentu lawan juga akan ‘masuk’ secara automatik ke dalam Pressing Trap tersebut.
Kelemahan Harimau Malaya
- In Game Management yang Agak Lemah Daripada Pan-gon
Dalam perlawanan menentang Thailand, jelas kelihatan di separuh masa kedua Azam Azih dan Brendan Gan sudah kepenatan kerana bermain secara intensiti tinggi di separuh masa pertama, namun Pan-gon berkeras tidak mahu mengeluarkan salah seorang daripada mereka.
Malah Azam juga sudah mengutip kad kuning pertama dan berisiko menerima kad kuning kedua. Sebenarnya Pan-gon boleh menggantikan Azam dengan Mukhairi Ajmal yang ada di bangku simpanan.
Mukhairi mempunyai minit permainan yang tinggi di Liga Super dan berpengalaman mewakili Harimau Malaya B23.
Akhirnya, kerana kepenatan; Azam melakukan Foul, mendapat kad kuning kedua dan memberikan sepakan percuma yang memberikan gol penyamaan Thailand di minit akhir permainan.
Begitu juga dalam perlawanan menentang Tajikistan. Pan-gon menanti sehingga separuh masa kedua bermula untuk menggantikan Sumareh yang bermain sangat teruk. Sumareh banyak hilang bola dan banyak melakukan incomplete passes di separuh masa pertama sehingga mengganggu serangan Harimau Malaya.
Alangkah bijaknya jika Pan-gon bertindak dengan lebih pantas; menggantikan Sumareh yang ‘tidak boleh bermain’ itu dengan pemain lain ketika di separuh masa pertama lagi agar ritma permainan boleh berubah dengan cepat dan memberikan momentum kepada Harimau Malaya.
- Defensive Organization yang Kadangkala Lewat Terbentuk
Pan-gon gemarkan Counter Pressing dan High Pressing namun mahu tidak mahu; Defensive Organization perlulah sama diperkasakan. Jika High Pressing dan Counter Pressing berjaya ‘dilangkau’ lawan, pemain harus cepat masuk ke dalam Defensive Shape.
Di sinilah di beberapa situasi ketika menentang Thailand (di separuh masa kedua terutamanya), kerana lewat menyusun Defensive Organization; Harimau Malaya hampir memberikan gol kepada mereka. Mujur ketangkasan Syihan jadi penyelamat.
Biasanya; pasukan lawan ‘mengintai’ daripada sisi Corbin kerana tahu Corbin selalu berada tinggi di atas untuk membantu serangan. Perkara inilah yang perlu diperbaiki di masa hadapan.
- Transisi yang Terlalu Terburu-buru dan Direct
Perkara ini banyak berlaku dalam perlawanan menentang Tajikistan. Terdapat beberapa situasi di mana Harimau Malaya berjaya merampas bola di kawasan sendiri dan melakukan Transisi daripada bertahan kepada menyerang.
Namun beberapa hantaran yang terlalu terburu-buru (Direct) daripada Nazmi Faiz merosakkan peluang Counterattack tersebut. Beliau kerap melakukan Through Pass ke hadapan dan berharap pemain serangan mengejar bola tersebut sedangkan beliau boleh menghantar bola ke kaki pemain itu terlebih dahulu.
Kesimpulan
Ini adalah beberapa kekuatan dan kelemahan Harimau Malaya di kejohanan King’s Cup 2022 yang lalu. Diharap Harimau Malaya dapat mengekalkan kekuatan ini serta mempertajamkannya dan memperbaiki kelemahan yang disenaraikan di sini. Jumpa lagi di Piala AFF 2022.