Pelumba Indonesia, Andi Farid Izdihar sah menyertai JDT Racing Team bagi menghadapi saingan Asia Road Racing Championship (ARRC) 2026.
Perkara ini disahkan pengurusan JDT Racing Team menerusi satu kenyataan di semua platform rasmi pasukan itu.
“Selamat datang ke Rumah Juara – Andi Farid Izdihar. Andi menyertai juara bertahan, Hafizh Syahrin untuk saingan Asia Road Racing Championship 2026!” katanya dalam satu kenyataan.
Kehadiran Andi Farid sekaligus menamatkan teka-teki identiti pelumba kedua pasukan itu bagi menghadapi ARRC 2026.
Prinsipal pasukan, Steven Tan menyifatkan kehadiran bekas juara Supersport 600 itu mampu membawa JDT Racing Team ke tahap lebih tinggi.
“Seorang pelumba yang baik, berhemah tinggi, rajin dan berdisiplin. Beliau sesuai dengan DNA JDT,” katanya.
Sebelum menyertai JDT Racing Team, Andi Farid mewakili Astra Honda Racing dalam saingan ARRC musim 2025 untuk kategori ASB1000. Beliau juga pernah bersaing dalam saingan Moto2 dan Moto3.
Kehadiran Andi dilihat dapat membantu Hafizh mempertahankan gelaran juara ASB1000 yang dimenangi pada musim lalu.