Nama bekas pemain sayap Selangor FC dari Indonesia, Andik Vermansyah menjadi sebutan penyokong baru-baru ini.
Ini selepas pemain sayap berusia 32 tahun itu hadir memberi sokongan kepada Selangor dalam aksi Liga Super menentang Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC).
Meskipun baru memenuhi komitmen perlawanan Persiraja Banda Aceh dan PSMS Medan pada 26 Oktober lalu, itu bukan halangan buat Andik memberi sokongan kepada Selangor.
Malah, beliau turut berkesempatan bergambar bersama pengacara program Arena Bola, Keeshanan Sundaresan atau Keesh Mat Stat di Stadium MBPJ.
Keesh nyata teruja kerana dapat bergambar bersama bekas pemain sayap Indonesia itu. “Terserempak dengan legenda ini malam tadi. Andik!” katanya di X.
Aksi Selangor-JDT berakhir dengan kemenangan 3-0 buat pelawat. Bergson da Silva dan Romel Morales memastikan JDT membawa pulang tiga mata penuh.
Andik cukup sinonim dengan pasukan yang diberi jolokan Merah Kuning itu. Ini kerana beliau beraksi bersama Selangor selama empat musim dari 2014 hingga 2017.
Tempoh itu menyaksikan beliau membantu Selangor meraih gelaran juara Piala Malaysia 2015 dan naib juara Liga Super musim sama. Selain Merah Kuning, Andik juga pernah beraksi untuk Kedah pada 2018.
Selepas menyertai Persiraja pada pertengahan 2023, beliau telah merekodkan 21 penampilan, empat gol dan lima bantuan gol.