Penjaga gol Manchester United, Andre Onana memberi amaran kepada kelab-kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) lain bahawa beliau akan tampil lebih baik untuk musim 2024/25.
Sejak tiba di Old Trafford dengan yuran perpindahan £47.2 juta (RM268 juta) pada musim 2023/24, penjaga gol Cameroon itu sering melakukan kesilapan. Ini mengakibatkan gawang United dibocori sebanyak 58 kali dalam liga.
Meskipun begitu, Onana membuktikan dirinya sebagai penjaga gol yang boleh diharap pengurus The Red Devils, Erik ten Hag. Dan ini terbukti apabila penjaga gol berusia 28 tahun itu membantu United menjulang gelaran juara The Emirates FA Cup.
Dalam temu ramah bersama akhbar The Mirror, Onana mengakui pendekatannya sebagai penjaga gol cukup berisiko. Pada masa sama, beliau merasakan pendekatan ini juga membantu pasukan-pasukan yang berani untuk melakar keputusan cemerlang dalam liga.
“Saya boleh memberitahu anda terlebih dahulu – bersedia, kerana ia akan menjadi (pendekatan sama musim lalu) seperti musim ini, percayalah! Saya akan lebih menikmatinya apabila musim ini bermula.
“Ini kerana pasukan terbaik di dunia mengambil risiko. Bermula dari belakang, mengamati perkara dan situasi, bila lawan melompat untuk situasi satu lawan satu atau apabila mereka menekan dengan tiga atau empat (pemain).
“Ketahuilah kita menguasai perlawanan dengan menekan jika ia adalah No. 9 atau No. 11. Jadi, bagi saya, penting untuk mengetahui perkara-perkara seperti itu dan membuat keputusan terbaik untuk pasukan,” katanya.
Onana mengakui ini satu tanggungjawab yang besar demi memastikan United memulakan musim 2024/25 dengan cemerlang. Pada masa sama, beliau percaya beliau berada pada tahap terbaik untuk memikul tugas berkenaan.
“Saya akan memikul banyak tanggungjawab dan saya rasa bahu saya sangat besar untuk memikul semuanya, bukan? Saya fikir ia akan menjadi baik musim ini,” tambahnya.
United bakal membuka tirai musim 2024/25 dengan menentang Manchester City untuk aksi The FA Community Shield. Aksi ini bakal berlangsung pada 10 Ogos ini.