Selepas beberapa tahun berkelana di Jepun, legenda Barcelona, Andres Iniesta bakal meninggalkan Negara Matahari Terbit itu pada Julai ini. Ini selepas beliau memaklumkan kelabnya, Vissel Kobe untuk membatalkan kontraknya yang masih berbaki setahun lagi.
Menyertai kelab pada 2018 selepas meninggalkan Barca, Iniesta telah merekodkan 111 penampilan J1 League bersama Ushi. Bagaimanapun, corak permainan fizikal yang diterapkan oleh jurulatih Takayuki Yoshida dan faktor usia mengakibatkan beliau disisihkan dan hanya membuat tiga penampilan dalam semua kejohanan musim ini.
Justeru, sebagai tanda penghargaan kepada Iniesta semasa bersama Vissel Kobe, kelab bakal mengadakan satu perlawanan persahabatan dengan Barcelona pada 6 Jun. Ia dilihat sebagai perlawanan perpisahan buat bekas pemenang Piala Dunia 2010 itu.
Semasa bersama Ushi, Iniesta menjulang Piala Maharaja (2019) dan Piala Super Jepun (2020). Beliau juga pernah disenaraikan sebagai Kesebelasan Terbaik J1 League pada 2019 dan 2021.
Begitupun, Iniesta tidak mendedahkan apa perancangannya selepas ini. Pemain tengah veteran berusia 39 tahun itu dikatakan sedang diintai kelab-kelab dari Timur Tengah dan Major League Soccer (MLS) dari Amerika Syarikat.
Ada juga khabar angin yang mengatakan Iniesta sedang menimbang tawaran untuk menyertai bangku kejurulatihan Blaugrana. Dengan Xavi ketika ini semakin hampir membimbing kelab menjulang La Liga musim ini, penyatuan semula duo bekas jeneral tengah ini pastinya dinantikan para penyokong setia Barca.
Yang pasti, keputusan ini bukanlah sesuatu yang mudah buat legenda Sepanyol itu. Walaupun bakal meninggalkan Vissel Kobe tidak lama lagi, Iniesta sentiasa mengenang memori indah yang dilakar bersama kelab J1 League itu.
“Sentiasa (menyokong Vissel Kobe). Sepanjang masa,” tulisnya dalam akaun Instagram peribadinya semalam. Tidak kira apa pilihan Iniesta selepas ini, jasa bekas pemain tengah Barcelona itu akan sentiasa diingati kerana mengangkat nama kelab dan J1 League sepanjang tempohnya di Jepun.