Aniq Kasdan Tersenarai Dalam Program RTG
UltraSukan
The Asian Connect

Atlet angkat berat negara, Mohamad Aniq Kasdan tersenarai dalam program Road to Gold (RTG) hari ini.

Keputusan ini dibuat dalam mesyuarat jawatankuasa RTG yang dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Program RTG ialah program bagi membantu atlet Malaysia merealisasikan prospek memenangi pingat pada tahap tertinggi termasuk Sukan Olimpik.

Aniq, 20, terpilih kerana menduduki kedudukan ke-10 dari segi ranking Olimpik.

Mana-mana atlet angkat berat yang menghuni kedudukan 10 teratas ini layak secara automatik ke Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis.

Dengan rekod peribadi terbaik ialah 291 kg, jawatankuasa RTG percaya dengan sokongan yang betul, Aniq mampu menyamai rekod pemenang pingat Olimpik iaitu 294 kg.

Begitupun, dua regu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing serta skuad hoki negara bernasib malang apabila digugurkan daripada program RTG.

Soon Huat-Shevon dan Kian Meng-Pei Jing digugurkan susulan prestasi kurang konsisten dalam kejohanan terbuka BWF.

Ini sekaligus menyukarkan mereka mengutip mata diperlukan untuk layak ke Paris tahun hadapan.

Sementara The Speedy Tigers pula digugurkan kerana gagal memenangi pingat emas Sukan Asia 2023 di Hangzhou, China. Pingat emas temasya tersebut merupakan tiket automatik layak ke Sukan Olimpik 2024.

Begitupun, jawatankuasa RTG bersedia mempertimbang penyenaraian mereka semula sekiranya berjaya layak ke temasya berprestij itu.

Sementara itu, dua lagi atlet negara yang layak ke Sukan Olimpik iaitu Nur Shazrin Latif (pelayaran) dan Johnathan Wong (menembak) akan terus diberi sokongan menerusi Program Podium.