Apa Andre Onana Cuba Lakukan?
MakanBola
Manchester United
Sponsors

Gelagat penjaga gol Manchester United, Andre Onana mencuri tumpuan penyokong dalam aksi The FA Community Shield di Stadium Wembley pada 10 Ogos lalu.

Perlawanan ini menemukan United selaku juara The Emirates FA Cup dan musuh setempat, Manchester City selaku juara Liga Perdana Inggeris (EPL).

Ad

United pada awalnya mendahului 1-0 hasil jaringan pemain sayap muda Argentina, Alejandro Garnacho. Walau bagaimanapun, City mengheret perlawanan ke penentuan sepakan penalti menerusi Bernardo Silva pada minit ke-89.

Ad

Pada awalnya, The Red Devils mendahului 3-1 selepas penalti Silva berjaya dinafikan Onana. Sementara tiga lagi penalti disempurnakan Garnacho, Bruno Fernandes dan Diogo Dalot.

United berpeluang memenangi perlawanan seandainya Onana berjaya menafikan sepakan penalti The Citizens ketiga yang diambil Erling Haaland. Di sinilah, penjaga gol berusia 28 tahun itu berusaha mempengaruhi penyerang berbisa Norway itu agar gagal menyempurnakan penaltinya.

Ad

Menurut laporan Manchester Evening News, Onana bukan saja menjerit perkataan ‘lelaki besar’ kepada Haaland. Malah, beliau turut mencabar penjaring terbanyak EPL musim 2023 itu agar menyepak ke sebelah kanan.

Ad

Haaland tidak termakan dengan taktik psikologi penjaga gol Cameroon itu dan mudah menyempurnakan penaltinya. Dan apabila beliau kembali menyertai rakan-rakan sepasukannya, Haaland hanya tersenyum dan ketawa memikirkan telatah Onana.

Ad

United kemudiannya bernasib malang apabila Jadon Sancho dan Jonny Evans gagal menyempurnakan penalti mereka. Ini membuka ruang kepada Manuel Akanji menyumbat gol kemenangan The Citizens untuk menjadikan keputusan 7-6.

Kedua-dua pasukan kini mengalihkan fokus untuk aksi pembukaan EPL yang bermula pada minggu hadapan. City bakal menentang Chelsea di Stamford Bridge pada 18 Ogos ini.

Sementara United pula bakal melayan kunjungan Fulham di Old Trafford pada 17 Ogos ini. The Red Devils berharap aksi itu bakal diserikan dengan kehadiran dua pemain baru, Mathijs de Ligt dan Noussair Mazraoui.

Ini selepas United telah memeterai persetujuan untuk mendapatkan duo Bayern Munich itu dengan kombinasi yuran perpindahan £60 juta (RM338 juta).