Apa Lee Zii Jia Cuba Sampaikan?
UltraSukan
Olympic Malaysia

Status media sosial terbaru Lee Zii Jia mencetuskan tanda tanya dalam kalangan peminat badminton negara.

Ini selepas pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2024 itu memuat naik siri lukisan aneh di Instagram.

Status tersebut sudah menarik 96,000 tanda suka dan 2,340 komen di Instagram sejak ia dinaikkan enam jam yang lalu.

Ramai orang termasuk rakan seperjuangan Zii Jia percaya juara Thailand Open 2024 itu bergelut untuk kembali ke tahap terbaik di atas gelanggang.

Hal ini mendorong ramai pemain negara memberi kata-kata semangat di ruang komen beliau. Antara yang berbuat demikian ialah jaguh perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei.

Jin Wei mengingatkan Zii Jia untuk terus berjuang. “Masa akan memulihkan segala-galanya,” katanya di ruang komen.

Pemain profesional negara, Lai Pei Jing pula meninggalkan komen ini, “Mari kita berjuang bersama-sama (di atas gelanggang).”

Sehingga artikel ini ditulis, belum ada sebarang maklum balas daripada Zii Jia berhubung status berkenaan.

Anak jati Alor Setar, Kedah itu dijangka akan kembali ke gelanggang selepas pulih sepenuhnya daripada kecederaan ligamen buku lali.

Zii Jia bakal bersaing dalam saingan Japan Open 2025 yang akan berlangsung dalam tempoh dua minggu lagi.