Advertising
“Apa Yang Dirancang Tak Menjadi” – Syahir Iqbal
UltraSukan
Selangor FC Futsal

Pemain Selangor FC Futsal, Syahir Iqbal sedikit kecewa tidak dapat menghadiahkan tiga mata di aksi pertama Malaysia Premier Futsal League (MPFL) 2024.

Bintang muda Selangor itu berkata, kegagalan menyudahkan deretan peluang sambil gol pantas daripada Sabah membuatkan pasukannya hampa di akhir permainan.

“Perlawanan hari ini memang nasib tidak menyebelahi kami, peluang kami banyak tapi kami tak manfaatkan. Memang tiada rezeki bila kami jaringkan gol, mereka (Sabah) pula jaringkan gol seminit kemudian,” katanya kepada UltraSukan selepas perlawanan.

Ad

Beliau turut senada dengan kapten pasukan, Fariq Mohammad berkenaan strategi pasukan yang dilihat serba tidak menjadi pada perlawanan itu.

Ad

“Ya, memang betul apa yang (Fariq) katakan, apa yang dirancang tidak menjadi, kami agak sedikit goyah dan tidak settle down dengan gol seminit-seminit. Jadi itulah kelemahan kami,” tambahnya lagi.

Ad
Ad

Mengulas mengenai jaringannya yang dibatalkan oleh pengadil di saat akhir sedangkan pengumuman penjaring sudah dibuat, beliau akui sedikit kecewa memandangkan gol tersebut penting untuk menaikkan semangat pasukan.

Ad

“Pengadil kata Syahir tolak dia (pemain Sabah), tapi Syahir cuma dada sahaja, tetapi entahlah, padahal keputusan (gol) pengadil dah buat tetapi saat akhir, pengadil tukar (atas) sebab saya tolak dia (pemain Sabah),” ujar beliau dengan wajah kecewa.

“Sebab gol itu pun menaikkan semangat kami untuk melakukan kebangkitan, bila gol itu tak dikira, ada rasa sedikit kecewa.”

Pemain berusia 19 tahun ini berjanji untuk terus fokus dan teruskan latihan untuk kembali mengejar misi menjulang kejuaraan MPFL.

“Kami pun akan fokus untuk aksi seterusnya, satu perlawanan demi satu perlawanan dan akan terus bekerja keras,” kata Syahir di akhir temu bual.

Terdahulu, Selangor FC Futsal terpaksa berputih mata setelah kecundang di tangan Sabah 2-3 dengan dua gol The Red Giants dijaringkan Syed Aizad dan Faris Johan manakala gol-gol Sabah disumbangkan oleh Felipe Leite (dua gol) dan Ahmad Azim.