Advertisement
Arab Saudi Bergelut Tewaskan Lubnan
Asia
MakanBola
FA Lebanon

Arab Saudi terpaksa bekerja keras sebelum meraih kemenangan ke atas Lubnan dalam aksi pemanas badan pertama pra-Piala Asia 2023.

Perlawanan hari ini merupakan perlawanan pemanas badan pertama Arab Saudi menjelang Piala Asia 2023.

Sementara Lubnan pula mahu menambah keyakinan selepas berjaya mengatasi Jordan 2-1 dalam aksi pemanas badan pertama mereka beberapa hari yang lalu.

Babak pertama menyaksikan The Green Falcons yang dibimbing Roberto Mancini cuba menembusi barisan pertahanan The Cedars.

Bagaimanapun, pasukan yang menduduki ranking ke-56 dunia itu hampa apabila setiap serangan mereka berjaya dipatahkan.

Pertahanan Lubnan diketuai bek tengah veteran, Nour Mansour memastikan gawang mereka yang dikawal Mustafa Matar tidak bocor.

Arab Saudi terus merencana serangan demi serangan ke atas Lubnan. Malangnya, ketumpulan jentera serangan mereka memastikan keputusan 0-0 kekal sehingga rehat.

Bersambung pada babak kedua, Mancini dan jurulatih Lubnan, Miodrag Radulovic masing-masing membuat pertukaran pemain untuk kedua-dua pasukan.

Keinginan bekas jurulatih Manchester City itu melihat Arab Saudi mendapatkan gol akhirnya tiba pada minit ke-48.

Tersentak, Lubnan pula mengatur serangan bagi mendapatkan gol penyamaan. Ini memaksa pertahanan The Green Falcons bekerja keras menyerap asakan Lubnan.

Arab Saudi berusaha mencari gol tambahan tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Selepas ini, kedua-dua pasukan fokus kepada aksi pemanas badan seterusnya. The Green Falcons bakal turun menentang Palestin pada 9 Januari.

Manakala The Cedars pula mengalihkan fokus kepada perlawanan pertama Kumpulan A antara mereka dengan tuan rumah, Qatar pada 12 Januari.