Persatuan Bola Sepak Arab Saudi (SAFF) mengumumkan pemberian dana sebanyak 60 juta riyal (RM74 juta) untuk memperkukuh pembangunan bola sepak wanita negara itu.
Inisiatif ini diumumkan SAFF menerusi satu kenyataan media pada 26 Julai ini. Dana ini akan disalurkan menerusi Program Dana Pembangunan Kelab-Kelab Bola Sepak Wanita (WFCDFP) untuk musim 2024/25.
Dana kali ini menyaksikan pertambahan 10 juta riyal (RM12 juta) – tanda komitmen SAFF untuk mempergiatkan lagi pembangunan bola sepak wanita Arab Saudi.
Dana program ini bakal disalurkan kepada 70 kelab bola sepak yang bersaing dalam beberapa pertandingan yang dianjurkan SAFF. Ini termasuk SAFF Women’s Premier League, SAFF Women’s First Division League dan SAFF Women’s Second Division League.
Pertambahan dana ini turut menyaksikan SAFF menyertakan beberapa kriteria baru untuk memartabatkan pembangunan bola sepak wanita profesional Arab Saudi.
Antara kriteria yang digariskan SAFF ialah kriteria penajaan, tinjauan bakat, penyokong, teknologi dan nutrisi.
Naib Presiden SAFF, Lamia Bahaian melihat penambahan dana program ini mampu meningkatkan kemajuan penggiat bola sepak wanita Arab Saudi ke tahap lebih tinggi.
“Kami telah melihat kemajuan yang luar biasa dalam bola sepak wanita sepanjang tahun lalu dan peningkatan dana sokongan untuk musim ini adalah petunjuk jelas komitmen kami untuk mendorong lebih jauh.
“Matlamat kami adalah mewujudkan lebih banyak peluang untuk wanita dalam bola sepak dan membina asas yang kukuh untuk sukan di Arab Saudi,” katanya dalam satu kenyataan.
Lamia turut melihat penambahan kriteria-kriteria baru bukan saja mendorong pasukan-pasukan bola sepak wanita Arab Saudi untuk menjadi lebih profesional.
Malah, ini akan membantu mewujudkan sistem sokongan yang diperlukan penggiat bola sepak wanita terutama para pemain untuk lebih maju selepas ini.
“Dengan perkembangan program kami, kami bukan sahaja meningkatkan bilangan kelab yang mengambil bahagian tetapi juga meningkatkan kualiti pasukan yang mengambil bahagian dalam pertandingan kami.
“Kami memberi tumpuan kepada menyediakan sumber dan sokongan yang diperlukan untuk membantu pemain, jurulatih dan pasukan kami lebih maju.
“Musim ini bakal menjanjikan bab yang menarik untuk bola sepak wanita, dan kami tidak sabar-sabar untuk melihat kemajuan dan kejayaan atlet kami yang berterusan,” tambahnya.
Sejak WFCDFP diperkenalkan pada musim 2023/24, lebih 91% jurulatih kini memiliki lesen kejurulatihan A. Sementara 24% jurulatih lagi sudah memiliki lesen kejurulatihan profesional.
Selain itu, 56% kelab bola sepak wanita Arab Saudi turut memiliki pasukan Bawah 17 Tahun (B-17). Kewujudan pasukan ini memberi platform kepada kelab-kelab mengenal pasti bakat-bakat baru di peringkat akar umbi.