Aksi kedua saingan Kumpulan C kempen Kelayakan Piala Dunia 2026 hari ini melibatkan pertembungan antara pasukan China dan Arab Saudi.
Arab Saudi meraih kemenangan bergaya apabila mengatasi China dalam aksi yang berlangsung di Stadium Dalian Suoyuwan.
Separuh masa pertama tamat dengan keputusan 1-1. China terlebih dahulu mendapat jaringan pembukaan perlawanan pada minit ke-14 permainan apabila pertahanan Arab Saudi, Ali Alawjami menjaringkan gol sendiri.
Sebelum aksi di separuh masa pertama tamat, Arab Saudi berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-39 permainan menerusi Hassan Kadesh. Beliau memanfaatkan sepakan penjuru yang dimiliki pasukan pelawat dengan satu tandukan.
Bersambung aksi di babak kedua, China pada minit ke-62 permainan berjaya menjaringkan gol. Namun jaringan itu dibatalkan pengadil kerana pemain berada dalam kedudukan offside.
Arab Saudi meranapkan hasrat China pada minit akhir permainan. Hassan Kadesh sekali lagi muncul wira Arab Saudi apabila tandukannya memastikan tiga mata dibawa pulang Arab Saudi.
China tewas di laman sendiri kepada Arab Saudi dengan keputusan 2-1.