Beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Wooi Yik membuka kempen Arctic Open dengan langkah kanan apabila dengan tenang menyingkirkan wakil China, Chen Bo Yang-Liu Yi.
Setelah berehat panjang akibat kecederaan, Aaron-Wooi Yik kembali ke gelanggang buat kali pertama dan dijadualkan bertemu Chen Bo Yang-Liu Yi di pusingan awal Arctic Open 2024.
Berdasarkan rekod pertemuan, Aaron-Wooi Yik mencatatkan kemenangan dalam aksi tunggal membabitkan kedua-dua wakil ini ketika Perodua Malaysia Masters 2024 yang lalu.
Aksi bermula sengit dengan kedua-dua pasangan saling terikat mata 6-6 sebelum Bo Yang-Liu Yi mula meningkatkan serangan dan berjaya memimpin permainan ketika interval.
Aaron-Wooi Yik yang berada di ranking keempat dunia kini berusaha bangkit dan berhasil memintas kedudukan lawan 17-16 untuk memastikan set pertama menjadi milik wakil negara ini.
Skrip seakan sama berulang di set kedua apabila Bo Yang-Liu Yi sekali lagi mempamer bisa di awal permainan dengan melakukan serangan bertubi-tubi ke arah beregu utama negara ini.
Di pertengahan aksi, Aaron-Wooi Yik kembali memperoleh momentum untuk sempat mengejar mata lawan ketika kedudukan 18-18 sebelum menutup permainan dengan kemenangan.
Pertarungan di gelanggang dua berakhir dengan keputusan 21-18, 21-18 buat Aaron Chia-Soh Wooi Yik.
Kemenangan ini membawa Aaron-Wooi Yik mara ke pusingan kedua dan bakal menempah pertemuan menentang beregu England, Ben Lane-Sean Vendy pada Khamis.