Juara dunia, Argentina kekal menerajui kumpulan kelayakan Piala Dunia 2026 Zon Amerika Selatan dengan menewaskan musuh tradisi, Brazil.
Sebelum perlawanan, Albiceleste sah layak ke Piala Dunia 2026. Mereka menjadi pasukan keempat yang layak selepas Jepun, New Zealand dan Iran.
Brazil pula memburu kemenangan ke atas musuh tradisi mereka itu untuk merapatkan jurang dengan pasukan di tempat kedua, Ecuador.
Albiceleste menurunkan Julian Alvarez sebagai pengganti Lautaro Martinez. Penyerang Wolves, Matheus Cunha dipilih sebagai nadi kreativiti Selecao.
Alvarez menceriakan penyokong Argentina di Estadio Mas Monumental seawal minit keempat. Ini gol ke-12 bekas penyerang Manchester City itu di peringkat antarabangsa.
Lapan minit selepas itu, giliran pemain tengah Chelsea, Enzo Fernandez menggandakan kelebihan tuan rumah.
Tersentak, Selecao yang dibimbing Dorival Junior kembali memperkemaskan rentak permainan. Hasilnya, Cunha merapatkan jurang gol buat Brazil pada minit ke-26.
Keceriaan kem pelawat hanya bertahan selama 11 minit. Bintang Liverpool, Alexis MacAllister meledakkan gol ketiga Argentina selepas menyudahkan hantaran Fernandez.
Albiceleste berusaha mencari gol tambahan tetapi keputusan 3-1 kekal sehingga rehat separuh masa.
Bersambung pada babak kedua, Dorival Junior memasukkan Leo Ortiz, Joao Gomes dan Endrick untuk mengubah kembali momentum perlawanan.
Brazil bernasib baik apabila percubaan Alvarez dari luar kotak penalti berjaya ditepis Bento pada minit ke-55.
12 minit kemudian, giliran bek kiri Olympique Lyon, Nicolas Tagliafico menguji kecekapan penjaga gol Al-Nassr itu. Bento pantas menafikan tandukan Tagliafico bagi memastikan kedudukan kekal 3-1.
Pemain gantian, Giuliano Simeone menambah derita Selecao dengan menyumbat gol keempat pada minit ke-71.
Brazil berusaha merapatkan jurang defisit gol tetapi keputusan 4-1 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini menyaksikan Argentina kekal bertakhta dengan 31 mata.
Selecao pula kekal di tangga kelima dengan 21 mata. Sofascore memilih Fernandez sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 9.0.
Selepas ini, Albiceleste bakal berdepan Chile pada 4 Jun. Brazil pula berdepan cabaran Ecuador pada hari yang sama.