Piala Dunia
CBS Sports Golazo
Advertisements

Argentina yang diketuai Lionel Messi berjaya mengelak daripada menjadi mangsa kejutan pasukan Eropah. Ini selepas pasukan gergasi Amerika Selatan itu berjaya menewaskan Belanda menerusi penentuan sepakan penalti dalam perlawanan suku akhir Piala Dunia 2022 di Stadium Lusail.

Dengan kedua-dua pasukan menggunakan formasi 3-5-2 dan 3-4-1-2, Argentina dan Belanda kelihatan berhati-hati semasa melancarkan serangan. Tetapi Albiceleste terlebih dahulu menyerang menerusi bek kanan Atletico Madrid, Nahuel Molina selepas Oranje didapati kerap kehilangan bola pada minit kelima. Bagaimanapun, sepakannya itu terkena kepala Messi sebelum berjaya dikeluarkan pertahanan Belanda.

Albiceleste hampir menewaskan penjaga gol Belanda, Andries Noppert menerusi percubaan Lionel Messi pada ke-22. Selepas berjaya melepasi Marten de Roon, legenda Barcelona itu meledakkan percubaan ke arah Noppert walaupun cuba dihalang bek tengah Virgil van Dijk. Bagaimanapun, Belanda bernasib baik sepakan Messi tidak mengenai sasaran.

Advertisements

Oranje yang tersentak menguji pula kecekapan Emiliano Martinez dua minit selepas itu. Memphis Depay mempunyai sasaran yang baik untuk menembusi gawang Martinez tetapi sepakan bekas penyerang PSV Eindhoven itu tersasar ke sebelah tepi gawang. 10 minit kemudian, percubaan Rodrigo de Paul pula dinafikan Noppert.

Nahuel Molina Argentina Piala Dunia 2022 Bleacher Report Argentina Tewaskan Belanda, Layak Ke Separuh Akhir Piala Dunia
Nahuel Molina menolak bola melepasi Andries Noppert untuk gol pertama Argentina. Gambar: Bleacher Report

Tetapi akhirnya, Argentina mendahului menerusi Molina pada minit ke-35. Walaupun dikawal rapi oleh bek tengah Manchester City Nathan Ake, Messi berjaya mencari ruang dan melorongkan bola kepada Molina yang mara ke dalam kotak penalti Oranje sebelum melepaskan sepakan yang menembusi gawang Noppert.

Messi turut mencipta rekod tujuh bantuan gol dalam Piala Dunia untuk Argentina dan hanya perlukan satu lagi bantuan gol bagi menyamai rekod Diego Maradona iaitu lapan bantuan gol. Penyerang veteran PSG itu kemudiannya menguji lagi Noppert pada minit ke-40 tetapi penjaga gol Heerenveen itu mudah menafikannya. Belanda cuba bangkit menerusi percubaan Cody Gakpo pada minit akhir permainan tetapi bola tandukannya berjaya diselamatkan Martinez. Keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.

Advertisements

Selepas rehat, jurulatih Belanda, Louis van Gaal memasukkan Teun Koopmeiners dan Steven Berghuis bagi memperkemas jentera pasukan. Tetapi Argentina kelihatan selesa menyerap asakan Oranje sambil menanti peluang melancarkan serangan balas.

Pada minit ke-55, Messi didapati menahan bola dengan tangan semasa Belanda cuba melancarkan serangan. Yang anehnya, pengadil tidak melayangkan kad kuning kepada beliau walaupun melakukan perkara sama terhadap Cristian Romero pada babak pertama. Tidak mustahil aura legenda Barcelona itu mendorongnya untuk tidak melayangkan kad kepadanya.

Argentina berpeluang menambah jaringan pada minit ke-61 selepas Messi dijatuhkan van Dijk di luar kotak penalti. Bagaimanapun, sepakan percuma yang diambilnya melepasi palang dan menggegar jaring di luar gawang Noppert. Oranje kemudiannya memasukkan Luuk de Jong bagi membantu Depay dan Gakpo di bahagian serangan. Bagi mengimbangi pertukaran taktik van Gaal, Lionel Scaloni memasukkan Leandro Paredes bagi memperkuat barisan tengah Albiceleste.

Advertisements
Lionel Messi meraikan jaringan kedua Argentina pada minit ke-73.

Albiceleste kemudiannya dianugerahkan sepakan penalti pada minit ke-71 selepas Marcos Acuna dijatuhkan Denzel Dumfries dalam kotak penalti. Walaupun cuba dibantah pemain-pemain Oranje, keputusan penalti dianggap muktamad. Messi mudah menyempurnakan penalti pada minit ke-73 sekaligus menyamai rekod 10 gol untuk penjaring gol terbanyak Argentina dalam Piala Dunia yang dipegang Gabriel Batistuta.

Belanda kemudiannya merapatkan jurang menerusi Wout Weghorst pada minit ke-83. Hantaran jauh yang dibuat Dumfries berjaya ditanduk bekas penyerang Burnley itu menewaskan Martinez. Gol tersebut menyuntik keyakinan kepada Oranje untuk memburu gol penyamaan dengan Berghuis melepaskan rembatan kencang pada minit ke-84 tetapi terkena sebelah jaring.

Wout Weghorst meraikan jaringan penyamaan Belanda pada minit akhir perlawanan. Gambar: Statman Dave

Dengan perlawanan memasuki masa tambahan, Belanda terus menggandakan asakan. Ini memaksa Argentina bertahan habis-habisan bagi memastikan kubu mereka tidak dibolosi. Tetapi Weghorst memastikan Belanda terus bernyawa menerusi gol pada minit akhir perlawanan bagi membolehkan mereka masih ada harapan untuk layak ke separuh akhir. Keputusan 2-2 kekal sehingga tamat 90 minit perlawanan dengan perlawanan dibawa ke masa tambahan.

Advertisements

Masa tambahan menyaksikan kedua-dua pasukan lebih rela membiarkan bola berlegar di tengah padang sambil mencari peluang serangan balas. Enzo Fernandez hampir memenangi perlawanan untuk Albiceleste pada minit ke-113 tetapi rembatannya terkena dada van Dijk sebelum keluar dari permainan.

Dua minit selepas itu, rembatan Fernandez terkena kaki Berghuis sebelum melambung melepasi palang Belanda. Sebelum perlawanan berakhir, satu lagi rembatan pemain tengah Benfica itu mengenai tiang sekaligus melegakan penyokong-penyokong Belanda. Keputusan 2-2 kekal sehingga masa tambahan dengan perlawanan dibawa ke penentuan sepakan penalti.

Penentuan sepakan penalti menyaksikan Martinez menafikan dua penalti Belanda yang diambil van Dijk dan Berghuis dengan Argentina melengkapkan empat penalti mereka. Dengan kemenangan ini, Argentina bakal berdepan Croatia di peringkat separuh akhir. Dengan Dominik Livakovic sukar ditewaskan, Albiceleste pastinya mengharapkan magis legenda Barcelona itu untuk membawa mereka ke pentas final.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram