Indonesia bakal berdepan cabaran sukar sekiranya berjaya meraih kemenangan ke atas Iraq dalam aksi penentuan tempat ketiga/keempat Piala Asia Bawah 23 Tahun (B-23) 2024.
ASEAN Football melaporkan sekiranya mereka berjaya melakukannya, Indonesia bakal berada dalam Kumpulan B bersama Argentina, Ukraine dan Maghribi.
Sementara dua wakil Asia yang bakal beradu di final Piala Asia B-23, Jepun dan Uzbekistan pula bakal menentukan kedudukan kumpulan mereka pada 4 Mei ini.
Mengikut keterangan FIFA, juara Piala Asia B-23 bakal berada dalam Kumpulan D bersama Paraguay, Mali dan Israel.
Manakala naib juara kejohanan pula berada dalam Kumpulan C bersama Sepanyol, Mesir dan Republik Dominica.
Seandainya Indonesia atau Iraq menamatkan kempen Piala Asia B-23 di tempat keempat, mereka perlu mengharungi aksi play-off Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC)-Persekutuan Bola Sepak Afrika (CAF) pada 9 Mei ini.
Ini kerana perlawanan tersebut menawarkan tiket kelayakan terakhir ke Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis.
Aksi play-off yang bakal berlangsung di Perancis ini bakal menemukan Indonesia atau Iraq dengan wakil Afrika, Guinea.
Justeru, aksi Indonesia-Iraq pada malam ini penting bukan saja dari segi pencapaian dalam Piala Asia B-23 2024.
Malah, ini dilihat peluang bagi kedua-dua pasukan untuk berjuang dan mengelak aksi play-off dengan Guinea pada 9 Mei ini.