Tidak ramai tahu satu ketika dahulu, Arif Aiman Hanapi dan Cole Palmer pernah berentap di atas padang.
Fakta pelik tapi benar ini dikongsikan bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menerusi satu hantaran di Instagram Story beliau.
Hantaran tersebut memaparkan gambar kesebelasan utama Malaysia Tigers (pasukan Program Pembangunan Bola Sepak Nasional (NFDP)) dan Manchester City untuk aksi suku akhir SuperMokh Cup 2015.

“Kesebelasan utama NFDP vs Manchester City SuperMokh Cup 2015. Cole Palmer untuk City. Arif Aiman untuk NFDP,” katanya.
Selain Palmer, kesebelasan utama City dalam aksi berkenaan turut mengandungi nama penjaga gol Burnley, James Trafford, CJ Egan-Riley (Burnley), James McAtee (Manchester City) dan Taylor Harwood-Bellis (Southampton).
Sementara untuk skuad NFDP pula, nama Harith Haiqal Adam Afkar, Zikri Khalili dan Harith Naim Jaineh turut menonjol selain nama Arif.
Perlawanan tersebut berkesudahan dengan kemenangan 2-0 The Citizens ke atas skuad negara. Skuad muda City kemudiannya muncul juara kejohanan untuk kategori Bawah 13 Tahun (B-13).
Tiada siapa menyangka sejak aksi berkenaan, kedua-duanya menjadi pemain hebat di negara masing-masing. Arif semakin menyerlah bersama Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) terutama di peringkat Asia.
Selain meraih gelaran juara Liga Super dan Piala FA sebanyak tiga kali, beliau turut dipilih Pemain Paling Berharga (MVP) Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) tiga tahun berturut-turut.
Sementara Palmer pula makin cemerlang di Stamford Bridge selepas menyertai Chelsea dengan yuran perpindahan £40 juta (RM224 juta) pada musim 2023/24.
Palmer bukan saja menyumbat 25 gol dalam semua kejohanan buat The Blues. Malah, prestasi cemerlangnya turut menyebabkan beliau disenaraikan dalam pasukan England untuk aksi EURO 2024.