Pemain sayap lincah Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi dilaporkan berada dalam radar kelab Iran.
Pemain berusia 22 tahun itu menjadi tunjang utama buat Harimau Selatan dan juga skuad kebangsaan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Beliau bagaimanapun mula dikaitkan dengan perpindahan ke luar negara apabila tersebar khabar angin terbaru mengenai masa depannya.
Salah sebuah laman bola sepak terkemuka iaitu Intitr.net memaklumkan bahawa pemenang Anugerah Pemain Paling Bernilai Liga Malaysia (MVP) itu merupakan salah seorang calon untuk menyertai kelab Iran iaitu Persepolis FC.
Hal ini susulan pemergian tonggak penting pasukan, Mehdi Torabi yang berhijrah ke kelab lain iaitu Tractor FC.
Laman tersebut telah menyenaraikan 4 nama pemain ternama Asia yang dianggap boleh mengisi kekosongan tersebut.
Arif Aiman menjadi buah mulut orang Iran selepas namanya turut berada dalam senarai tersebut bersama-sama pemain Maghribi, Amin Zouhzouh, Abdellah Haimoud (Maghribi) dan juga Everton Galdino (FC Tokyo).
Khabar ini turut diulang ciap oleh laman Onefootball sekaligus mencetuskan tanda tanya mengenai masa depan anak kelahiran Pahang ini.
Sebagai rekod, satu-satunya pemain Malaysia yang mendapat tawaran beraksi di Liga Iran ialah Allahyarham Mokhtar Dahari.
Tawaran tersebut dilaporkan tiba semasa Piala Asia 1976, namun telah menolak.
Hal ini sekaligus menjadikan Arif Aiman pemain kedua Malaysia yang mendapat tawaran sekiranya khabar angin ini benar.
Setakat ini, tiada pengesahan rasmi mengenai berita perpindahan ini tatkala beliau giat membantu Harimau Selatan meraih kemenangan 4-0 ke atas Terengganu.