Pemain sayap lincah Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi sememangnya terkenal dengan larian yang pantas dan penyudah yang semakin tajam sejak kebelakangan ini. Prestasi semasa Arif sudah tentu banyak dibantu dengan latihan berintensiti tinggi di JDT.
Baru-baru ini, Arif Aiman bersama beberapa pemain JDT yang lain telah turut serta dalam acara Meet And Greet sempena pelancaran $JDT Fan Token. Dalam acara tersebut, Arif Aiman sudi berkongsi tiga keraian yang dilakukannya selepas meledak gol buat JDT dan skuad kebangsaan.
Arif sangat sinonim dengan keraian yang serupa dengan bintang Manchester United, Marcus Rashford. Manakala keraian gol yang ketiga pula menyerupai keraian yang dilakukan bintang Perancis dan Paris Saint Germain (PSG), Kylian Mbappe.
Video keraian gol Arif Aiman tersebut telah dikongsikan oleh pemilik akaun Tiktok, pipitbiru. Dalam video tersebut turut kelihatan beberapa pemain JDT yang lain iaitu Bergson da Silva, Jordi Amat dan Safawi Rasid.
Arif menunjukkan peningkatan yang mendadak bersama JDT musim ini selepas berjaya meledak enam gol dalam 15 perlawanan untuk saingan Liga Super. Selain enam gol yang dijaringkan, Arif kini merupakan pendahulu carta pemain yang paling banyak membuat bantuan gol iaitu dengan 10 bantuan.