Arif Aiman & Nazmi Faiz Korbankan Cuti Demi Malaysia
MakanBola
Johor Southern Tigers

Kesungguhan Arif Aiman Hanapi dan Nazmi Faiz Mansor membantu Harimau Malaya termasuk mengorbankan cuti masing-masing cukup mengagumkan.

Pengamatan ini dibuat wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam apabila meneliti senarai pemain yang melapor diri ke kem skuad kebangsaan mengikut fasa.

Tidak seperti ramai pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) lain yang memilih melapor diri pada fasa kedua kem iaitu 25 Mei, Arif dan Nazmi memilih melapor diri pada 19 Mei.

“Rata-rata pemain JDT akan lapor diri pada kem fasa dua kecuali Arif dan Nazmi. Itu yang jadi persoalan saya, kenapa dua pemain ini tak sama (tarikh) lapor diri kan?” katanya kepada Nadi Arena.

“Sebab pemain JDT kali terakhir mereka beraksi di peringkat kompetitif ialah 26 April, final Piala Malaysia. Jadi, untuk pemulihan itu, saya difahamkan oleh doktor pasukan perlu empat minggu dari 26 April hingga 25 Mei.

“Jadi, empat minggu ialah tempoh pemulihan sebelum mereka kembali jalani latihan berintensiti tinggi.”

Sebaik menyedari Arif dan Nazmi sanggup mengorbankan cuti mereka demi negara, Zulhelmi menyifatkan langkah yang dibuat dua pemain Harimau Selatan itu patut dipuji.

“Tetapi Arif dan Nazmi sedikit berbeza. Hasil dapatan saya, mereka sendiri yang nak berlatih (dalam fasa pertama). Mereka sendiri berkorban cuti untuk datang ke fasa pertama latihan pada 19 Mei depan.

“Jadi, kredit harus diberi kepada Arif Aiman dan Nazmi kerana tawar diri dan pendekkan cuti untuk kem latihan pusat,” tambahnya.

Arif dan Nazmi bakal disertai 28 pemain lain untuk fasa pertama kem. Antara yang akan hadir ialah Faisal Halim, Paulo Josue, Stuart Wilkin dan Gabriel Palmero.