Kemenangan 10-0 yang dilakar Malaysia ke atas Papua New Guinea beberapa hari lepas banyak disumbang oleh pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT) FC, Arif Aiman Hanapi. Tetapi pemain muda berusia 21 tahun itu melihat ini sebagai persiapan ke Piala Asia.
Empat gol yang dijaringkan Arif Aiman dalam perlawanan itu menjadikannya penjaring termuda yang menjaringkan empat gol dalam sesebuah perlawanan antarabangsa ‘Tier 1’.
Walaupun Piala Asia hanya akan bermula pada tahun hadapan, beliau tidak mahu mengambil mudah persiapan ke kejohanan berkenaan. Ini kerana perlawanan ini juga akan menguji sejauh mana kesefahaman pemain yang diturunkan jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon.
“Pertama sekali, alhamdulillah pada perlawanan hari ini dapat kemenangan buat kami. Perasaan saya amat teruja kerana saya jaringkan hatrik yang pertama dalam skuad kebangsaan dalam karier saya.
“Tiada apa saya nak cakap pasal perlawanan. Perlawanan ini (merupakan) persediaan kami ke Piala Asia akan datang pada tahun depan.
“Itu yang paling penting dan setiap perlawanan yang kami harungi penting buat kami. Persediaan ini amat penting untuk kami ke Piala Asia,” katanya dalam temubual pasca-perlawanan.