Pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi kekal tenang selepas ditarik pemain import Terengganu, Marin Pilj ketika diatas padang.
JDT telah dijadualkan bertemu Terengganu dalam aksi keenam saingan Liga Super 2024/2025 baru-baru ini. Skuad Harimau Selatan tidak berdepan tugas sukar selepas mudah menundukkan Terengganu dengan keputusan 4-0 dalam aksi di Stadium Sultan Ibrahim.
Pada minit ke-67 permainan, Marin Pilj telah dilayangkan kad kuning oleh pengadil perlawanan kerana menarik Arif Aiman daripada belakang.
Reaksi spontan Arif yang tenang ketika itu telah mencuri tumpuan ramai apabila beliau dengan spontan menunjukkan isyarat seolah ingin memberikan jersi itu kepada Marin. Insiden itu turut mendapat perhatian ramai penyokong yang hadir ke stadium.
Biarpun tidak berjaya mencatat nama sebagai penjaring, kehadiran Arif telah memberi kelebihan tambahan di posisi sayap buat JDT. Pemain berusia 22 tahun itu berjaya mencatat bantuan jaringan dalam kemenangan JDT keatas Terengganu tempoh hari.
JDT bakal bertemu PDRM pada esok di Stadium Selayang untuk saingan Liga Super sebelum menghalakan fokus kepada aksi separuh akhir kedua Piala FA 2024 bertemu Kedah Darul Aman di Stadium Sultan Ibrahim pada Ahad, 4 Ogos 2024.
Dalam kempen Piala FA, JDT kini selangkah ke final selepas miliki kelebihan satu jaringan apabila menewaskan Kedah dalam aksi separuh akhir pertama tempoh hari dengan keputusan 2-1.