Cita-cita mana-mana pemain negara ialah mewakili Harimau Malaya di peringkat antarabangsa. Dan bagi Armin Maier, itu satu cita-cita yang mahu direalisasikan walaupun itu bermakna melepaskan pasport Jerman miliknya.
Ketika ini, proses dokumentasi pasport Malaysianya bakal lengkap selewat-lewatnya hujung tahun ini. Dan itu diharap dapat membantu pemain SV Helmstetten itu dapat mewakili Harimau Malaya yang dibimbing Kim Pan-gon.
“Semasa membesar, budaya Malaysia sangat dekat dengan saya. Sebab itu saya memang nak main untuk Malaysia, saya dah cuba lengkapkan proses dokumentasi ini sejak beberapa tahun.
“Sasaran utama saya ketika ini adalah untuk mendapatkan pasport Malaysia dan saya harap dapat mewakili Malaysia untuk Piala Asia. Itu merupakan impian semua orang apatah lagi ke pertandingan besar seperti Piala Asia,” katanya semasa ditemubual portal Harimau Malaya.
Armin pernah mewakili skuad bawah 22 tahun Singapura sekaligus melayakkannya beraksi bersama skuad senior Singa Kallang. Malah, dia juga pernah menerima panggilan menyertai pasukan kebangsaan oleh Fandi Ahmad untuk Piala AFF 2018.
Tetapi Armin menolak panggilan tersebut kerana jika dia mewakili skuad senior Singapura, dia sudah tidak berpeluang mewakili Harimau Malaya.
“Masa itu, saya memang tidak mahu lepaskan pasport Jerman kerana saya ada cita-cita mahu di Eropah. Apabila saya balik Jerman, saya baru mengetahui peraturan FIFA tentang pemain warisan. Saya juga tahu atuk saya orang Johor, sebab itu saya memilih untuk mewakili Malaysia,” katanya.
Bekas pemain FC Kreuzlingen dan Selangor itu juga tidak menolak jika diberi peluang beraksi bersama pasukan Liga Super. Armin pernah beraksi bersama Selangor II sekitar 2020 hingga 2021.
Dia berharap agar dapat didaftarkan sebagai pemain tempatan dalam pasaran perpindahan kedua liga. Ini kerana jika mahu beraksi dalam Liga Super musim ini, Armin perlu didaftarkan sebagai pemain import sementara proses dokumentasinya sedang berjalan.