Pelumba JDT Racing Team, Hafizh Syahrin Abdullah mengakui cuaca panas di Buriram, Thailand bakal memberi cabaran kepada barisan pelumba Asia Road Racing Championship (ARRC) musim 2025.
Saingan ARRC kembali untuk musim 2025 dengan Litar Antarabangsa Buriram menjadi pembuka tirai kejohanan.
Meskipun begitu, Hafizh mengakui bukan mudah mengatur persiapan perlumbaan dalam keadaan cuaca panas di Buriram.
Pada masa sama, bekas pelumba MotoGP itu melihat itu bukan penghalang buat semua pelumba untuk menampilkan aksi terbaik di atas litar.
“Kita jangka bila berlumba di Thailand dalam keadaan cuaca begini, kita perlu membuat persiapan dengan baik. Ini kerana ia akan menjadi sukar dengan cuaca panas,” katanya.
“Sekarang, kita berada di litar bersama pasukan kita. Ya, kita mengenali jentera kita. (Pada masa sama), kita mesti letakkan jentera kita dalam keadaan terbaik.
“Ini terutama dari segi aturan antara saya dengan jentera, antara jentera dengan pasukan. Kita akan lihat macam mana.”
Hafizh dilihat sudah memberi amaran awal kepada pencabarnya dalam kategori Asian Superbike 1000 (ASB1000). Ini kerana beliau sudah merekodkan catatan masa 1 minit (m) 36.415 saat (s) dalam sesi latihan bebas pertama.
Beliau diekori naib juara ASB1000 musim 2024, Andi Farid Izdihar yang merekodkan catatan masa 1:36,734.